Gangguan perkhidmatan tren KTMB akibat alat talian atas putus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan KTM Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan akibat alat talian atas terputus di antara laluan Kepong - Sungai Buloh pada jam 2.45 petang tadi.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan hal itu telah menyebabkan kelewatan daripada jadual asal berikutan penggunaan satu landasan di laluan berkenaan bagi mengatur pergerakan tren secara bergilir.

"Perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim - Pelabuhan Klang - Tanjung Malim dijangka mengalami kelewatan antara 30 hingga 60 minit.

"Bagi perkhidmatan ETS, tren-tren yang terlibat dijangka mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal,” menurut kenyataan pada Jumaat.

Menurut KTMB, status terkini bagi tren ETS yang lain akan dimaklumkan melalui hantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan pengumuman di stesen.

Pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi dan kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatan tren beroperasi dengan segera.

KTMB turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua penumpang sepanjang tempoh tersebut.

Sebarang bantuan lanjut, penumpang boleh berhubung dengan petugas stesen dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasmi KTMB atau hubungi pusat panggilan di talian 03-9779 1200. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!