Majlis Peguam Malaysia gesa PDRM siasat insiden serangan peguam

Majlis Peguam Malaysia menggesa PDRM untuk mengambil tindakan segera dan tegas untuk menyiasat insiden serangan ganas ke atas seorang anggota Bar Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.
Majlis Peguam Malaysia menggesa PDRM untuk mengambil tindakan segera dan tegas untuk menyiasat insiden serangan ganas ke atas seorang anggota Bar Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Peguam Malaysia menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas dan menyiasat insiden serangan ganas ke atas seorang anggota Bar Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, mangsa diserang oleh dua penyerang yang tidak dikenali menggunakan batang logam hingga menyebabkan kecederaan serius di kepala dan kaki.

"Serangan yang dirancang ini bukan sahaja menyerang individu, tetapi juga merupakan serangan terhadap kedaulatan undang-undang.

"Jawatankuasa Bar Pulau Pinang melaporkan bahawa peguam tersebut tidak mempunyai sebarang pertikaian peribadi, jadi serangan ini berkemungkinan berkait dengan peranan mangsa dalam menegakkan keadilan.

"Jika benar, ini adalah serangan terhadap semua anggota profesion guaman dan cabaran langsung kepada prinsip yang diperjuangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, peguam merupakan pegawai mahkamah yang komited untuk melayani keadilan dan mereka perlu menjalankan tugas tanpa rasa takut kepada keganasan.

Justeru, katanya, Majlis Peguam Malaysia mengutuk serangan yang bacul dan tidak boleh diterima itu.

"Jika mempunyai masalah terhadap peguam, aduan tersebut perlu diselesaikan menerusi cara yabng betul menerusi proses undang-undang kerana tidak wajar menggunakan tindakan kekerasan untuk selesaikan isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Keganasan sebegini yang menyasarkan mereka yang mempertahankan hak orang lain dan merosakkan asas sistem keadilan kita. Kami tidak boleh membenarkan tindakan keganasan sedemikian dipandang ringan," tegasnya.

Menurutnya lagi, profesion guaman tidak akan berdiam diri kerana salah seorang anggotanya diserang secara kejam tanpa sebarang tindakan.

Pada masa sama, Mohamad Ezri memaklumkan, peguam memainkan peranan penting dalam sistem kehakiman, maka keselamatan dan kesejahteraan peguam perlu dijaga setiap waktu agar mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Kami menggesa semua individu termasuk anggota kami, untuk kekal waspada dalam ketika ini, termasuklah sewaktu berada di rumah atau tempat awam.

"Langkah seperti memasang butang kecemasan di bilik mesyuarat, memberitahu rakan sekerja tentang lokasi mesyuarat dan meningkatkan keselamatan dalam kes guaman beremosi tinggi adalah antara kaedah yang berguna.

"Majlis Peguam Malaysia akan terus mendesak keadilan yang cepat dalam hal ini dan kami tidak akan berdiam diri sehingga mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan.

"Ingatan dan simpati kami adalah bersama mangsa dan keluarganya, kami akan terus memberikan sokongan penuh sepanjang masa ketika dia dalam proses pemulihan daripada pengalaman trauma ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!