Taufan tropika Trami ragut 46 nyawa, 20 lagi hilang di Filipina

Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi pulau utama Luzon, menyebabkan kemusnahan besar dengan banjir dan tanah runtuh yang dahsyat di Wilayah Bicol dan Calabarzon.
Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi pulau utama Luzon, menyebabkan kemusnahan besar dengan banjir dan tanah runtuh yang dahsyat di Wilayah Bicol dan Calabarzon.
A
A
A

MANILA - Angka korban akibat taufan tropika Trami yang melanda Filipina minggu ini meningkat kepada 46 orang, dengan sekurang-kurangnya 20 orang lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Xinhua.

Dalam satu laporan, Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ariel Nepomuceno berkata, sembilan wilayah di seluruh negara melaporkan kematian yang berkaitan dengan Trami.

Wilayah Bicol, yang terletak di tenggara Manila dan paling terjejas akibat taufan itu, mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 28 orang, diikuti wilayah Calabarzon dengan 15 orang.

Beberapa wilayah lain di tengah dan selatan Filipina juga melaporkan kematian yang berkaitan dengan Trami.

Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi pulau utama Luzon, menyebabkan kemusnahan besar dengan banjir dan tanah runtuh yang dahsyat di Wilayah Bicol dan Calabarzon.

Banjir kilat dan tanah runtuh melanda beberapa wilayah di Filipina pada Selasa ketika Trami membawa hujan lebat dan menyebabkan banyak kawasan terputus bekalan elektrik.

Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara memaklumkan bahawa ribut itu menjejaskan lebih 2.6 juta orang di sekurang-kurangnya 15 wilayah di seluruh negara Asia Tenggara itu.

Angka-angka ini, termasuk jumlah korban dijangka meningkat apabila polis dan agensi lain terus menilai kesan Trami apabila akses dibuka ke beberapa kampung terpencil.

Artikel Berkaitan:

Sehingga Jumaat, agensi itu berkata, 293 jalan dan 67 jambatan di seluruh negara masih tidak boleh dilalui. Bekalan elektrik juga belum pulih di beberapa kawasan.

Biro cuaca negara menyatakan Trami dikesan 255 kilometer di barat daya wilayah Ilocos Sur di utara Filipina pada pagi Jumaat. Ia bergerak ke arah barat barat laut dengan angin selaju 95 km sejam dan tiupan angin mencecah 151 km sejam.

Biro cuaca negara meramalkan Trami akan keluar dari Filipina pada petang atau Jumaat malam.

Purata 20 taufan melanda Filipina setiap tahun. - Bernama/Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!