Sri Pahang ikat KDN FC,1-1
HAJAT Sri Pahang FC meraih tiga mata penuh lebur selepas sekadar seri 1-1 berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini, pada malam Jumaat.
KDN berjaya mengejutkan gawang lawan dengan gol pembukaan menerusi jaringan penyerang importnya, Brandao Dos Santos pada minit ke-21.
Anak buah kendalian Fandi Ahmad kembali menggasak namun cubaan penyerang importnya, Kpah Sherman sekadar melepasi palang gol pada minit ke-26.
Skuad Tok Gajah terus menggandakan serangan namun beberapa cubaan menarik masih gagal membolosi gawang lawan.
Dua minit masa tambahan sebelum babak pertama perlawanan tamat menyaksikan KDN masih mendahului lawan.
Bersambung babak kedua perlawanan, cubaan kedua-dua pasukan gagal menembusi gawang masing-masing.
Namun skuad kendalian Jaehong Park nyaris menambahkan jaringan namun tuah tidak memihak mereka apabila cubaan pemain tengah, Mohamad Hakimi Abdullah terkena tiang gol pada minit ke-59.
Tok Gajah sebaliknya kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin pada minit ke-60.
Enam minit masa tambahan masih gagal dimanfaatkan kedua-kedua pasukan untuk menambahkan jaringan sebaliknya penyerang KDN, Layth Ali Abdalrahim dikenakan kad merah kerana mengasari pemain Sri Pahang pada minit terakhir permainan.
Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan, Mohd Faizudin Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!