Polis teruskan siasatan kesan suspek van putih
IPOH - Dakwaan ada cubaan menculik seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Kampung Padang, Gerik pada Selasa adalah disahkan rekaan semata-mata.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak mendapati mangsa berilusi dan kerap bermimpi.
"Kami diberitahu bahawa mangsa mereka cerita dan mungkin terbawa-bawa dengan insiden sama yang menimpa rakannya pada Isnin itu hingga kerap bermimpi.
"Kes ini belum diklasifikasikan lagi namun mangsa akan dirujuk kepada pakar kaunseling untuk langkah seterusnya," katanya kepada pemberita pada Festival Kesenian Islam Nasyid PDRM Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Jumaat.
Menurut Azizi, siasatan kes masih diteruskan susulan laporan pertama kejadian melibatkan remaja perempuan berusia 14 tahun lain di lokasi sama, Isnin lalu adalah wujud.
"Saya mengarahkan ketua polis daerah untuk ketatkan kawalan di sempadan Gerik dan Pengkalan Hulu berikutan suspek menaiki dua van dengan salah satunya bernombor pendaftaran Thailand.
"Kita akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk negara termasuk mendapatkan kerjasama daripada polis negara Thailand untuk risikan seterusnya mengesan suspek," katanya.
Media melaporkan dua pelajar perempuan nyaris menjadi mangsa culik individu yang menggunakan van putih dengan nombor pendaftaran negara Thailand dalam kejadian berhampiran tanah perkuburan Kampung Padang di sini.
Bagaimanapun, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed memaklumkan seorang remaja perempuan telah membuat laporan semula kepada polis untuk memperbetulkan ceritanya kerana dakwaan culik itu hanya mimpi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!