The Cops sekat hajat Sang Kenari teruskan rentak kemenangan
HARAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk meneruskan momentum kemenangan tidak tercapai apabila diikat PDRM FC, 1-1 pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman, pada malam Jumaat.
Sang Kenari yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas Terengganu FC pada Sabtu lalu turun dengan misi untuk terus mengutip tiga mata.
Mereka yang masih dilanda dengan kemelut kewangan terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Syafiq Ahmad selepas menjaringkan gol hasil hantaran ketua pasukan, Sony Norde pada minit ke-16.
Walau bagaimanapun gol tersebut tidak dibenarkan oleh pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir selepas video pembantu pengadil (VAR) mendapati jaringan tersebut ofsaid.
Namun usaha berterusan pemain KDA FC akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 apabila Jose Cleylton menjaringkan gol untuk meletakkan tuan rumah 1-0 di hadapan.
Terkejut dengan gol tersebut, The Cops menggandakan asakan dan lawan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil tandukan Ifedayo namun gol tersebut tidak dibenarkan kerana dalam kedudukan ofsaid.
Jaringan penyamaan yang diburu pasukan pelawat akhirnya muncul pada minit ke-57 hasil jaringan Aremu Timothy Oluwaseun bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat yang menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!