Pemuda MCA selar insiden kibar bendera China

Tangkap layar video tular mempamerkan peserta negara China mengibar bendera negara itu ketika perarakan sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan.
Tangkap layar video tular mempamerkan peserta negara China mengibar bendera negara itu ketika perarakan sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mengibarkan bendera negara asing adalah perbuatan memalukan dan tidak patriotik terhadap Malaysia.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menggesa agar mana-mana pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendahulukan semangat cintakan negara dalam setiap penganjuran acara yang mahu diadakan.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung wajar dijadikan pegangan kepada kita semua bahawa semangat patriotik dan cintakan kepada Malaysia perlu sentiasa diutamakan.

“Kita semua perlu bersama memainkan peranan mempromosikan nilai-nilai dan budaya Malaysia seiring dengan konsep Malaysia Madani hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial, Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini tular satu rakaman memaparkan berlangsungnya satu perarakan dengan mengibarkan bendera China di Teluk Intan, Perak.

Ekoran itu, pihak polis memanggil penganjur untuk dirakam keterangan berhubung video berkenaan kerana ia didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Susulan kejadian berkenaan, Choo Seong berharap agar insiden sedemikian tidak berulang lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, agensi kerajaan perlu lebih peka dan sensitif dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan apa sahaja acara.

Artikel Berkaitan:

“Seharusnya setiap pengisian program diselit dengan elemen cintakan Malaysia.

“Pihak berkuasa juga perlu memberi pemantauan lebih terhadap penganjuran acara sedemikian khususnya acara yang diadakan di tempat awam, sekolah dan destinasi pelancongan Malaysia,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!