Permohonan maaf Najib: Jika menyalahi undang-undang, buat laporan polis dan siasat

Tangkap layar hantaran Fadhli Shaari di Facebook pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran Fadhli Shaari di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai rakyat Malaysia, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak untuk membuat permohonan maaf.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan untuk tindakan itu tidak memerlukan campur tangan daripada pihak lain.

"Serahkan sahaja kepada proses pengadilan. Najib ada hak untuk minta maaf, beliau juga seorang rakyat Malaysia.

"Kalau kenyataan mohon maaf itu dikatakan menyalahi undang-undang, buatlah laporan polis dan siasat lah. Kenapa nak sindir-sindir orang yang sudah dalam penjara?

"Dalam bab ini, tinggi sungguh kesabaran kawan-kawan pimpinan UMNO," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, bertindak menyindir permohonan maaf Najib berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB terutama ketika di bawah pengawasan sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Pada Khamis, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan bahawa dirinya tetap tidak bersalah dan tidak patut dihukum oleh mahkamah atas peranannya dalam skandal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, Najib mendakwa ditipu oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) dan eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney serta Tarek Obaid.

Najib berkata, walaupun beliau telah mengarahkan pelbagai siasatan dijalankan, namun dia cenderung untuk mempercayai penjelasan oleh lembaga pengarah dan pihak pengurusan 1MDB.

Ujarnya, apabila beliau mula curiga tentang apa yang berlaku dalam 1MDB, kebimbangan utamanya adalah kepada kedudukan kewangan dan risiko yang ditimbulkan terhadap hubungan politik dua hala.

Najib mengakhiri kenyataannya dengan mengatakan bahawa beliau telah menghadapi hukuman atas tanggungjawab yang dipikul walaupun jelas beliau bukan dalang kepada skandal 1MDB.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!