Kerajaan Selangor sedia beri kerjasama dalam kes MBI - Amirudin

Amirudin ketika bertemu pengamal media selepas hadir ke Majlis Makan Malam Perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Kali Ke-4 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, pada Jumaat. Foto Bernama
Amirudin ketika bertemu pengamal media selepas hadir ke Majlis Makan Malam Perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Kali Ke-4 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Kerajaan Selangor bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa susulan siasatan kes rasuah yang dijalankan terhadap Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehubungan itu semua pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan bersifat menuding jari atau yang boleh mengganggu siasatan pihak berkaitan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.

"Siasatan terhadap institusi negeri ini memang kita sangat terbuka dan (agensi penyiasat) diberikan ruang dan kerjasama yang sangat baik oleh negeri dan juga agensi kerana (siasatan) juga akan menjamin integriti terus bertahan dalam institusi seperti MBI.

"... kalau ada kesalahan prosedur, kita betulkan prosedur, tetapi kalau yang melibatkan jenayah, itu untuk tindakan selanjutnya pihak berkuasa yang berkaitan, itu di luar bidang kuasa negeri," katanya ketika ditemui selepas Program Pemukiman Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini pada Jumaat.

Amirudin yang juga Pengerusi MBI berkata, bermula pada 2019 pihaknya telah memperketat prosedur operasi standard dalam menguruskan badan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan dan perniagaan negeri itu bagi menjamin tatakelola yang baik.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membekukan aset bernilai jutaan ringgit melibatkan siasatan kes MBI berkaitan rasuah konsesi perlombongan pasir.

Mengenai program pemukiman itu, Amirudin turut menyatakan hasrat untuk mencadangkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi meningkatkan gred penghulu dan penggawa, mengambil kira peredaran zaman dan tanggungjawab yang semakin meningkat.

"Saya lihat setelah beberapa tahun gred mereka ini sekitar 29 sampai 40.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sudah sampai masanya dengan institusi kita yang semakin kompleks, mungkin penggredan mereka ini boleh ditingkatkan melebihi 40 kerana setengah daripada mereka ini ada yang berpendidikan ijazah dan ada juga doktor falsafah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!