Sabah belasah Penang 4-0 di Stadium Bandaraya

Pemain Sabah FC, Stuart John Wilkin (dua dari kiri) meraikan gol ketiga yang dijaringkan semasa bertemu pasukan Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. Foto Bernama
Pemain Sabah FC, Stuart John Wilkin (dua dari kiri) meraikan gol ketiga yang dijaringkan semasa bertemu pasukan Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. Foto Bernama
A
A
A

SABAH FC meneruskan saingan Liga Super 2024/2025 dengan bergaya apabila berjaya membawa pulang tiga mata dengan membelasah tuan rumah Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.

Ketiadaan kelibat ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan nyata memberi kesan terhadap corak permainan tuan rumah apabila gawang mereka dibolosi seawal minit kedua permainan hasil rembatan kaki kiri penyerang Sabah FC, Saddil Ramdani.

Gol kedua pasukan pelawat hadir hanya empat minit kemudian, kali ini melalui pemain pertahanan, Gabriel Peres yang memanfaatkan sepakan percuma dengan Stuart Wilkin kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-35 dengan rembatan dari luar kotak penalti.

Babak kedua menyaksikan Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, terus berpesta gol apabila kapten pasukan Dominic Tan menambah jaringan keempat untuk memastikan kemenangan bergaya.

Pemain Sabah FC, Gabriel Schlegel Wotter Peres (tiga, kanan) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama para pemain semasa bertemu pasukan Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam ini. Foto Bernama

Kejayaan malam ini membolehkan Sabah FC naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan 20 mata di belakang Selangor FC (26 mata) dan Johor Darul Ta'zim (31 mata) yang masih mengungguli takhta Liga Super musim ini.

Sementara itu, di Stadium Darul Aman, tuan rumah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) seri 1-1 dengan PDRM FC.

KDA FC mendahului melalui jaringan Jose Cleyton pada minit ke-28.

Artikel Berkaitan:

Bersambung separuh masa kedua, PDRM pula menyamakan kedudukan menerusi Aremu Timothy pada minit ke-56 yang gagal ditepis keluar penjaga gol Mohd Ifwat Akmal.

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pula, pertembungan antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC turut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Brandao Dos Santos meletakkan KDN FC selaku tuan rumah di Temerloh di hadapan pada minit ke-21 sebelum Adam Nor Azlin menyamakan kedudukan skuad Tok Gajah pada minit ke-60. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!