Paris 2024: Bonnie penerima terbesar SHAKAM, bawa pulang RM1.02 juta

Atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin bersama replika cek Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diterima setelah memenangi pingat Emas dalam Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di sebuah hotel, pada Jumaat. Foto Bernama

A
A
A

JAGUH powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin muncul sebagai penerima terbesar pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi temasya Sukan Sukan Paralimpik Paris 2024, malam ini.

Kejayaannya mempertahankan emas dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) di Paris 2024 menyaksikan atlet berusia 25 tahun itu menerima ganjaran lumayan berjumlah RM1 juta beserta insentif tambahan sebanyak RM20,000 susulan pencapaian memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan angkatan baharu 232kg.

Selain meleburkan rekod dunia lamanya iaitu 231kg yang dicipta pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, jumlah angkatannya di Perancis turut mencipta rekod baharu temasya Sukan Paralimpik, mengatasi rekod lamanya iaitu 228kg yang dicatatkan pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun.

Bonnie menyifatkan ganjaran yang diterimanya pada majlis tersebut amat istimewa kerana terpaksa bertarung dalam kesakitan di bahagian bahu kirinya demi memastikan emas kekal dalam genggamannya pada penampilan kedua di pentas Paralimpik.

"Saya rasa penghargaan malam ini amat bermakna kerana di Paris 2024 saya berada dalam kesakitan ketika membuat angkatan. Ia sangat berbaloi bagi saya,” katanya selepas Majlis Penyampaian Shakam yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di sini.

Turut menerima ganjaran tersebut adalah pemenang emas perseorangan lelaki SU5, Cheah Liek Hou (RM1 juta) diikuti dua jaguh olahraga para negara iaitu pemenang perak lompat jauh lelaki T20, Datuk Abdul Latif Romly dan pemenang perak lontar peluru lelaki F20, Muhammad Ziyad Zolkefli, yang masing-masing menerima RM300,000.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama atlet kebangsaan setelah menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan kepada mereka setelah memenangi pingat ketika beraksi dalam Temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di sebuah hotel, pada Jumaat. Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub. Foto Bernama

Seorang lagi atlet olahraga para negara, Eddy Bernard yang meraih gangsa dalam acara 100m lelaki T44 pula menerima RM100,000.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tiga wakil badminton negara membawa pulang RM100,000 setiap seorang selepas memenangi gangsa pada Sukan Olimpik 2024 iaitu juara beregu lelaki dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi dan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia.

Terdahulu, Hannah dalam ucapannya mengingatkan para atlet agar sentiasa merendah diri serta tidak memikirkan ganjaran semata-mata sewaktu berlatih ataupun bertanding.

"Saya berharap ganjaran SHAKAM akan terus menjadi pembakar semangat kepada semua atlet negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!