BRICS bentuk zon ekonomi baharu

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Malaysia dalam BRICS merupakan satu langkah ke hadapan bagi membentuk zon ekonomi baharu supaya tidak bergantung kepada mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, penyertaan tersebut bakal mengubah perspektif dasar ekonomi tradisional yang berpaksikan negara Barat.

“BRICS ini akan membuka kancah atau blok ekonomi baharu. Kalau Malaysia bersungguh-sungguh dan berjaya membina satu segmen yang lebih baik, ia akan jadi pesaing di dunia.

“Tindakan ini menjadi satu impak besar termasuk dalam sektor perdagangan, politik, mikro dan makro ekonomi.

“Secara umum, ia satu langkah yang baik walaupun ada kebaikan dan kelemahan dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Malaysia pada Khamis diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang disenaraikan secara rasmi dalam BRICS sebagai negara rakan, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global.

Selain Malaysia, 12 negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Blok itu mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan secara kumulatif menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$26.6 trilion (RM115.4 trilion) atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi kumpulan G7.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azizul Azli berkata, penubuhan BRICS tersebut memberikan kesedaran kepada negara Barat bahawa kebergantungan terhadap mereka bukanlah satu pilihan nyata.

“Negara lain perlu berani membina ekonomi sendiri supaya tidak memperkayakan golongan Barat.

“Secara tak langsung, kehadiran BRICS mampu menstabilkan ekonomi dan politik negara lain, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang dolar AS,” ujarnya.

Azizul Azli berpandangan, BRICS akan menawarkan peluang ekonomi yang lebih berdaya saing dan mengubah corak politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!