Prabowo siap sedia latih pemimpin masa depan
JAKARTA – Eksekutif perniagaan, Kariyanto Hardjosoemarto terus melebarkan sayapnya meskipun berada jauh dari kampung halamannya yang terletak di kawasan luar bandar di Kabupaten Magetan, wilayah Jawa Timur.
Anak kepada petani itu mencapai kejayaan pada hari ini hasil didikan selama tiga tahun di SMA Taruna Nusantara, sebuah sekolah berasrama penuh berprestij di Magelang, Jawa Tengah yang turut melahirkan ramai profesional anak tempatan sejak pembukaannya pada 1990.
Sekolah Menengah Atas yang serupa dengan pendidikan pra universiti di Singapura bakal menjadi institusi lebih hebat di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Kepimpinan Presiden Indonesia kelapan itu dijangka mengumumkan pembinaan sebanyak 20 sekolah bermodelkan Taruna dengan empat daripadanya akan dibangunkan pada 2025.
Ia membuka peluang kepada pelajar cemerlang berasal daripada latar belakang keluarga luar bandar yang akan melatih pemimpin terbaik pada masa depan.
Kariyanto, 47, menyokong penuh idea tersebut.
“Hidup saya mula berubah ketika memasuki sekolah tinggi di mana saya belajar tentang disiplin dan meningkatkan keyakinan diri. Ia benar-benar menjadi asas kepada hidup saya.
“Jika saya tidak belajar di Taruna Nusantara, sudah pasti saya hanya akan menjadi petani seperti kebanyakan rakan seusia saya,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran di Inchcape Indomobil Distribution Indonesia yang merupakan pengeluar Mercedez-Benz di Jakarta itu lagi.
Usai tamat sesi persekolahan itu, kumpulan pelajar sekolah tinggi termasuk wanita berumur antara 15 dan 18 tahun biasanya akan memasuki Akademi Militer, sebuah institusi elit atau menyambung pengajian di universiti tempatan terkemuka untuk mencapai masa depan yang cerah.
Pada Mei lalu, seramai 326 pelajar merupakan lulusan sekolah berkenaan.
Seramai lima alumni Taruna termasuk Agus Harimurti Yudhoyono, Prasetyo Hadi dan Sugiono dilantik membarisi Kabinet ‘gemuk’' Merah Putih di bawah pentadbi-ran Prabowo untuk penggal 2024-2029.
Penasihat Ekonomi Presiden, Fakhrul Fulvian percaya projek 20 sekolah bermodelkan Taruna itu akan menyediakan akses pendidikan yang sama rata buat semua golongan.
“Kesamarataan adalah penting dan kami mahu memastikan bakat terbaik supaya mendapat peluang lebih baik untuk berjaya,” ujarnya kepada Straits Times (ST).
Didik golongan cemerlang
Di bawah fasa pertama pada tahun depan, sebanyak empat sekolah akan dibangunkan di Kalimantan Timur, Nusa Tenggara Timur, Maluku Utara dan Sulawesi Utara yang terletak jauh dari Pulau Jawa serta Sumatera yang berpopulasi padat.
Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional menjelaskan pembinaan sebuah sekolah dijangka menelan kos kira-kira 499 bilion rupiah (RM147 juta).
Projek sekolah Taruna itu sejajar dengan cita-cita Prabowo yang lain dirancang di kawasan pedalaman termasuk pemberian makanan percuma kepada 83 juta penduduk kurang berkemampuan dan menyediakan ladang pertanian yang besar di wilayah Papua Selatan.
Pakar meramalkan syarat kemasukan ke sekolah berkenaan adalah lebih ketat memandangkan Taruna hanya menerima 360 pelajar daripada 8,000 permohonan pada setiap sesi persekolahan baharu.
Taruna diasaskan oleh bekas Presiden Suharto pada 1990 untuk mendidik golongan cemerlang di Indonesia.
Selepas penubuhannya, sebanyak dua lagi sekolah Taruna didirikan di Malang, Jawa Timur dan Cimahi di Jawa Barat.
Sehingga kini, Taruna mempunyai kira-kira 9,500 alumni lelaki dan wanita.
Salah seorang alumni, Dr Nanik Purwanti, 43, menyambut baik projek pembinaan sekolah yang menjadikan Taruna sebagai sumber inspirasi mereka.
“Pelajar dari kawasan pedalaman berpeluang bertemu dengan tokoh yang boleh dijadikan sebagai suri teladan kerana golongan sedemikian tidak akan ditemui di persekitaran terpencil,” kata anak kepada petani itu yang kini bergelar pensyarah kanan di sebuah universiti pertanian di Jawa Barat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!