Hanya sekeping gambar penuh, Emma Maembong disantau
SANTAU adalah sejenis ilmu hitam yang dipercayai digunakan untuk mencederakan atau menjejaskan kesihatan seseorang melalui cara ghaib.
Amalan ini telah lama wujud dalam kepercayaan masyarakat Melayu, terutamanya di kawasan Nusantara.
Ia sering dikaitkan dengan unsur khianat, di mana seseorang menggunakan bahan tertentu atau bacaan jampi untuk menghantar penyakit kepada mangsa.
Walaupun kepercayaan ini semakin berkurangan dalam dunia moden, kisah-kisah tentang santau masih menarik perhatian kerana ia berkaitan dengan kepercayaan tradisional dan mistik masyarakat.
Tidak ketinggalan, artis terkenal tanah air, Emma Maembong menerusi rakaman podcast mendedahkan beliau antara mangsa perubatan khianat oleh seseorang individu yang tidak dikenalinya.
Rakaman yang disiarkan di YouTube bulan lalu kembali menjadi tular selepas ia dimuat naik di media sosial.
Ujar Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, lelaki berkenaan meminta untuk mendapatkan gambar penuh beliau sewaktu melayani peminat dalam satu pertemuan.
"Kawannya ambil gambar, dia pergi tempat lain, selepas itu aku terdengar dia kata: "Kan aku kata nak gambar 'full'"," katanya.
Menurutnya, rakan kepada lelaki itu datang kembali dan meminta untuk bergambar sekali lagi demi memenuhi hasrat lelaki berkenaan.
"Jadi saya kata boleh," ujar beliau tanpa mengetahui niat sebenar lelaki berkenaan.
Tambah Emma, beliau kemudiannya terkena santau selepas membaca kapsyen mantera yang ditulis lelaki berkenaan dan menanda (tag) beliau di Instagram.
"Ketika itu saya di pusat karaoke bersama rakan-rakan artis yang lain. Sewaktu rakan sedang karaoke, aku buka telefon dan nampak lelaki itu tag aku dengan gambar tadi tetapi dengan caption yang panjang.
"Apabila orang tag dengan caption panjang sudah tentu kita mahu baca sebab nak tahu apa yang diceritakan sama ada baik atau buruk.
"Jadi aku baca. Aku tak sedar rupanya ia adalah mantera. Aku tak ingat apa jadi, meraung,menangis, mengilai dan ketawa.
"Aku hanya sedar apabila dipegang kawan-kawan," katanya.
Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, kejadian itu telah mengubah kehidupannya menjadi teruk selepas insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!