Ribut Tropika Trami mengganas
Ia sedang aktif di Laut China Selatan, dijangka bergerak menuju ke Vietnam
MANILA - Ribut Tropika Trami membadai Filipina, sekali gus memaksa penutupan sekolah dan pejabat-pejabat pemerintah, manakala agensi-agensi bencana bersiap sedia menghadapi lebih banyak hujan serta banjir.
Trami dengan angin sekencang antara 95 kilometer hingga 160 kilometer sejam, bergerak ke arah barat melalui wilayah Isabela menghala ke Laut China Selatan, menurut agensi cuaca negara itu.
Ia memberi amaran hujan sangat lebat, banjir, tanah runtuh dan ribut akan berlaku di beberapa wilayah di utara Filipina.
Dikenali sebagai Kristine oleh penduduk tempatan, ribut berkenaan sudah meragut nyawa sekurang-kurangnya 26 orang sehingga Khamis dan memaksa lebih beratus ribu orang meninggalkan rumah mereka di Filipina selepas ia mendarat di pantai timur laut negara itu sejak Rabu lalu.
Ribuan penduduk di tengah daerah Bicol terpaksa berpindah selepas paras banjir naik setinggi bumbung rumah banglo.
Bank pusat pula membatalkan perdagangan pertukaran asing dan operasi kewangan.
Sementara itu, seramai 431,738 keluarga atau 2,077,643 orang di Wilayah Ilocos, Lembah Cagayan, Calabarzon, Mimaropa, Bicol, Visayas Barat, Visayas Tengah, Visayas Timur, Semenanjung Zamboanga, Caraga, Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM) dan Wilayah Pentadbiran Cordillera (CAR) terjejas akibat ribut tersebut.
Pada masa ini seramai 43,463 keluarga atau 163,184 orang sedang berlindung di 4,567 pusat pemindahan, manakala seramai 8,003 keluarga atau 32,877 orang dibantu di luar pusat pemindahan.
Cuaca buruk yang dicetuskan oleh Trami turut menjejaskan operasi 86 pelabuhan di sembilan wilayah.
Kira-kira 1,007 kediaman di tujuh wilayah turut rosak.
Filipina lazimnya mencatat purata 20 ribut tropika setiap tahun, sering kali menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan tanah runtuh yang meragut nyawa.
Dalam pada itu, menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), ribut tropika kuat Trami sedang aktif di Laut China Selatan dan dijangka bergerak ke barat menghala ke Vietnam.
Menerusi kenyataan MetMalaysia, keadaan tersebut menyebabkan peningkatan kelajuan angin sehingga 28 Oktober ini.
“Ia juga berpotensi membawa hujan berterusan di barat Sabah dam pembentukan garis badai di utara serta Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh tersebut.
“Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) bagi Sabah dan Labuan berkuat kuasa sehingga esok.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 27 Oktober ini,” katanya pada Khamis. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!