8 risiko sambung bayar kereta

Tular di media sosial tindakan seorang wanita memecahkan cermin keretanya sebelum ditarik kenderaan penunda gara-gara didakwa ada tunggakan pinjaman bank selama lapan bulan.
Tular di media sosial tindakan seorang wanita memecahkan cermin keretanya sebelum ditarik kenderaan penunda gara-gara didakwa ada tunggakan pinjaman bank selama lapan bulan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sambung bayar kereta boleh mendatangkan lapan risiko utama kepada pembeli mahupun penjual atau individu asal yang membuat pinjaman pembelian kenderaan tersebut dengan bank.

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, risikonya ialah kereta masih milik bank dan peminjam asal, jadi tidak ada sebarang jaminan kenderaan atau duit akan dipulangkan kepada pembeli sekiranya kereta itu diambil semula daripadanya.

“Pembeli juga mungkin terpaksa berdepan masalah besar sekiranya pemilik asal meninggal dunia semasa dalam tempoh sambung bayar kerana milikan kenderaan itu akan dipindah milik kepada waris secara automatik.

“Waris ada hak milikan ke atas kenderaan yang dijual secara sambung bayar dan kenderaan boleh dituntut semula tanpa ambil kira seberapa banyak kos yang telah dikeluarkan pembeli untuk bayar ansuran dan penyelenggaraan setiap bulan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini tular di media sosial video seorang wanita merosakkan sebuah kereta yang dipercayai dibelinya secara sambung bayar.

Pengguna Facebook, Rasis Jalil berkata, individu dalam video tular itu mendakwa dianiaya oleh pemilik kereta sebenar yang tidak membayar ansuran bulanan kepada bank walaupun pembeli telah melunaskan bayaran bulanan.

Hezeri berkata, risiko seterusnya ialah dari segi pertukaran hak milik kenderaan yang hanya boleh dilakukan setelah baki keseluruhan pinjaman dijelaskan sepenuhnya dan selagi belum langsai dan ditukar nama, peminjam asal berhak ke atas kereta.

Tambahnya, meskipun pembeli dan pemilik kenderaan asal membuat perjanjian sambung bayar kereta, namun perjanjian tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Sambung bayar ini salah dari segala segi kerana tidak ada sesiapa yang berhak menukarkan pinjaman bank kepada orang lain.

“Secara asasnya pemilik asal mempunyai kawalan mutlak terhadap kenderaan selagi nama pemilik tidak ditukar, bermaksud pemilik kereta boleh meminta pembeli memulangkan kereta bila-bila masa tanpa terikat dengan sebarang liabiliti undang-undang,” ujarnya.

Jelas beliau, penjual berisiko untuk menanggung tunggakan bayaran dan kos-kos tambahan untuk menuntut semula kereta jika pembeli tidak membayar ansuran pinjaman bulanan.

Menurutnya, hutang kereta tertunggak juga boleh menjejaskan skor kredit Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) penjual sebagai peminjam sehingga boleh disenarai hitam oleh institusi kewangan.

“Pemilik asal juga berisiko menanggung kos berkaitan saman polis selain perlu menanggung akibat sekiranya pemilik baharu menyalahgunakan kenderaan untuk kegiatan jenayah.

“Penjual mungkin akan dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan dan lebih teruk, penjual mungkin dituduh bersubahat dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!