Lubuk baharu hambat ikan
JELI - Daerah Jeli, Kelantan sangat popular dengan keindahan jeram dan air terjun kerana geografinya yang dilingkungi batuan serta bukit menghijau.
Bagaimanapun, mungkin ramai belum mengenali Sungai Kubor Datu di Kuala Balah yang menjadi lokasi merai atau menghambat ikan.
Kepenatan perjalanan hampir dua jam dengan memandu kereta dari bandar Kota Bharu tidak terasa kerana keindahan alam semula jadi yang mengasyikkan sebelum tiba di sungai itu.
Sebaik tiba, pengunjung akan disambut oleh sekumpulan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Rekreasi Sungai Lembah Pergau di dataran Sungai Kubor Datu.
Kelab itu kini sebagai teraju utama untuk aktiviti menghambat ikan yang menyediakan kemudahan seperti tempat bersantai, peralatan sistem siar raya, tandas dan khemah untuk bermalam.
Presidennya, Mohd Hantta Zakaria berkata, merai ikan merupakan teknik tradisional penduduk pinggir sungai zaman dahulu untuk mendapatkan ikan.
“Jadi kami meneruskan tradisi berkenaan dengan memperkenalkan kembali kepada pelancong domestik dan luar negara.
“Suasana dan geografi di Sungai Kubor Datu antara faktor pelbagai jenis ikan berkumpul di sungai ini termasuk lampam, baung dan tume gale (tenggalan),” katanya.
Menurut Mohd Hantta, merai atau menghambat ikan hanya boleh dilakukan pada musim panas antara Mac hingga Jun kerana air sungai lebih tenang dan tidak dalam.
Ketika itu juga katanya, banyak aktiviti air dapat dilakukan termasuk memancing dan menjala di pinggir sungai.
“Kita menjaga sungai ini bagi mengelakkan individu tidak bertanggungjawab menggunakan kaedah tangkapan ikan yang menyalahi undang-undang seperti bom ikan dan alat elektrik,” katanya.
Selain itu, pelancong yang datang secara berkumpulan boleh memaklumkan lebih awal bagi memudahkan pihaknya menyediakan keperluan untuk menghambat ikan termasuk buluh, tali dan jala.
“Kita mempunyai nelayan yang mahir menyelam untuk memasang buluh atau umpan dan kenal lubuk ikan selain mendapat kerjasama individu boleh mengajar cara menjala,” katanya.
Mohd Hantta berkata, kebiasaannya ada di antara pelancong dan pengunjung terus memasak ikan yang diperoleh dan menikmatinya bersama di sungai itu.
“Pengunjung juga boleh menyusuri sungai menggunakan bot dengan bayaran paling minimum sebanyak RM10 untuk menikmati keindahan semula jadi sambil menghirup udara segar di kawasan itu,” katanya.
Pusat pelancongan Jeli
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, Sungai Kubor Datu antara lokasi baharu yang berpotensi menjadi pusat pelancongan di Jeli selepas beberapa tapak perkelahan seperti Lata Kashmir, Lata Renyuk dan Lata Janggut.
Beliau memberitahu, lokasi Sungai Kubor Datu yang terletak 20 kilometer dari bandar Jeli itu padat dengan aktiviti air dan perkhemahan.
“Air yang tenang memang menjadi pilihan masyarakat setempat atau luar bandar yang mencari lokasi luar biasa untuk healing dan melupakan seketika kesibukan bandar,” katanya.
Jelas beliau, pengunjung juga boleh meminta panduan daripada penduduk dan NGO untuk membantu mereka mengadakan aktiviti air di sungai.
“Masyarakat di sini masih mengekalkan konsep gotong-royong termasuk kenduri. Jadi, semua aktiviti tersebut pasti akan mendapat penyertaan dan sokongan yang sangat tinggi daripada mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!