Warga emas teruskan legasi tembikar tradisi Mambong
KUALA KRAI - Tembikar tradisi Mambong dikesan dalam masyarakat di Kampong Mambong di sini sejak 1868.
Kewujudan tembikar tradisi Mambong selama 156 tahun di Kampong Mambong di pesisiran Sungai Galas dalam jajahan Kuala Krai mempunyai keunikan tersendiri kerana mampu bertahan lebih 10 tahun melalui penjagaan rapi.
Warga emas, Zainab Hussin, 78, antara pengusaha tembikar Mambong yang berpengalaman lebih 50 tahun dan masih aktif sehingga kini.
“Saya mempelajari seni kraf ini daripada bapa mentua dengan menggunakan teknik tradisional iaitu tangan.
“Selain campuran tanah liat dan pasir halus, batu sungai serta beberapa alatan daripada buluh turut digunakan untuk menghasilkan bentuk atau hiasan pada tembikar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut Zainab, dia menggunakan lima kilogram tanah liat untuk menghasilkan lima tembikar Mambong dalam pelbagai bentuk dan saiz setiap hari.
“Proses pembuatan tembikar bermula dengan pembentukan tapak terlebih dahulu, kemudian bentuk badan tembikar, proses melicinkan permukaan tembikar dan pemampatan.
“Tanah liat yang siap dibentuk menjadi tembikar seterusnya akan melalui proses pengeringan di bawah terik cahaya matahari selama dua hari,” katanya.
Tambah ibu kepada 10 cahaya mata itu, tembikar dihasilkan sangat kukuh dan tahan lasak kerana tanah liat dibakar terlebih dahulu bagi mengekalkan rupa bentuk dan kalis air.
“Tembikar ini dijual antara RM15 hingga RM70.
“Tembikar boleh digunakan untuk menanak pulut, merebus ikan, memasak mi segera dan sebagainya,” kata Zainab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!