PRN Sabah: Belum bincang kerjasama BN, PH

Bung Moktar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan ahli UMNO Bahagian Putatan ketika hadir pada program Gerak-17 UMNO Sabah DUN Tanjung Keramat di Putatan. Foto SINAR HARIAN-ASYIKIN ASMIN
Bung Moktar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan ahli UMNO Bahagian Putatan ketika hadir pada program Gerak-17 UMNO Sabah DUN Tanjung Keramat di Putatan. Foto SINAR HARIAN-ASYIKIN ASMIN
A
A
A

PUTATAN - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui belum ada sebarang perbincangan rasmi antara Barisan Nasional (BN) Sabah dengan Pakatan Harapan (PH) negeri itu berhubung kerjasama kedua pihak tersebut dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, di peringkat Pusat terdapat persefahaman dan persetujuan daripada kedua-dua pihak untuk diterjemahkan kerjasama itu dalam PRN Sabah.

"Kita belum ada perbincangan secara rasmi, (tetapi) secara tidak rasmi ada. Untuk kerjasama ini, Presiden PH dan Presiden BN ada kesefahaman dan mereka memberikan persetujuan.

"Memandangkan UMNO di Semenanjung sebagai sebuah parti yang memainkan peranan dengan PH jadi buat percubaan untuk pilihan raya di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyempurnakan Program Gerak-17 UMNO Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, di sini pada Jumaat malam.

Pengerusi BN Sabah itu bagaimanapun berkata, pihaknya terbuka untuk mempelawa parti tempatan yang ingin bekerjasama dengan gabungan itu nanti.

Sementara itu, diminta mengulas pihak mempersoalkan niat UMNO untuk bekerjasama tetapi tidak menunjukkan ke arah itu, beliau mengambil pendekatan tidak memberi maklum balas.

Namun dalam ucapannya, beliau turut memberi jaminan bahawa gabungan kerjasama antara parti lain akan membantu kemenangan buat UMNO BN dalam PRN tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Dengan siapa kita bergabung, itu jangan tanya.

"Biar saya saya dan kawan-kawan buat, saya beri jaminan kita akan bergabung dengan parti yang boleh membantu kita menang dalam pilihan raya," katanya.

PRN Sabah: Bung Moktar umum Jeffrey Nor calon DUN Tanjung Keramat

Dalam program sama, Bung Moktar turut mengumumkan Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon bagi kerusi DUN Tanjung Keramat.

Walaupun DUN Sabah belum dibubar namun, beliau meminta jentera dan ahli parti di kawasan tersebut dapat membantu calon untuk merampas semula kerusi milik BN itu.

"Ketua Cawangan, wakil Ketua Wanita Cawangan, Pemuda Cawangan, Ketua Puteri, duduk berbincang bagaimana kita tambah ahli cawangan kita, berapa ahli UMNO yang boleh mengundi untuk kita, kita jaga dengan adil dan tanya apa masalah mereka.

"Begitu caranya kalau membantu calon, jangan bebankan pemimpin, masalah-masalah itu runding sajalah, kamu punya Ketua Bahagian pun okay juga dan saya terus terang, Tanjung Keramat Jeffrey Nor calon kita," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, DUN Tanjung Keramat perlu dimenangi dan dirampas semula pada PRN yang bila-bila masa saja akan diadakan.

"Saya ingin berterus terang PRN17, BN perlu menang, kita perlu tukar kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah. Tidak ada pilihan lain.

"Pilihan kita cuma mahu menang, itu pilihan kita, tidak ada lagi pilihan-pilihan lain, Tanjung Keramat kita rampas daripada pengkhianat, tidak boleh lagi ada pengkhianat kita pancung," tegasnya.

Untuk rekod, pada PRN lalu, kerusi DUN Tanjung Keramat dimenangi Datuk Ir Shahelmey Yahya daripada BN.

Bung Moktar (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Jeffrey Nor selepas menghadiri Program Gerak-17 UMNO Sabah DUN Tanjung Keramat di Putatan. Foto SINAR HARIAN- ASYIKIN ASMIN
Bung Moktar (tiga dari kiri) menerima cenderamata daripada Jeffrey Nor selepas menghadiri Program Gerak-17 UMNO Sabah DUN Tanjung Keramat di Putatan. Foto SINAR HARIAN- ASYIKIN ASMIN

Bagaimanapun, pada awal tahun lalu berlaku kemelut politik Sabah di mana Bung Moktar menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dan menyebabkan sebahagian pimpinan UMNO turut mengambil tindakan sama.

Namun, Shahelmey bersama tiga ADUN BN lain kekal dengan pendirian untuk terus menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri dan tindakan itu menyebabkan Shahelmey digantung keahlian dalam parti.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Bung Moktar berkata, untuk kerusi DUN lain belum diumumkan namun memberi jaminan BN akan bertanding tidak kurang daripada 34 kerusi yang ditanding pada PRN lalu.

Ditanya mengenai ucapannya berhubung kenyataan Hajiji bahawa UMNO masih dalam kerajaan GRS, beliau kekal menegaskan bahawa parti itu bukan sebahagian daripada kerajaan gabungan berkenaan.

.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!