Forest tidak lihat jadual sebaliknya perlawanan EPL - Espirito Santo
PENGENDALI Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo tidak melihat jadual Liga Perdana Inggeris (EPL), sebaliknya hanya memikirkan perlawanan seterusnya selepas kemenangan 3-1 ke atas Leicester City dalam derbi East Midlands di Stadium King Power pada Sabtu.
Kemenangan itu membawa Forest ke tangga kelima dalam liga, tetapi itu tidak penting bagi pengendali, yang menjangkakan peningkatan beberapa bulan ke depan untuk merealisasikan sepenuhnya potensi sebenar mereka.
"Kami bermain permainan yang bagus, sangat stabil, yakin dan mantap. Organisasi kami bagus, saya gembira.
"Ia bukan mengenai jadual liga, apa yang lebih penting ialah melihat penyokong-penyokong Forest kami meraikannya seperti hari ini. Apa yang penting ialah bagaimana kami melakukan sesuatu, bagaimana kami terus maju.
"Ia adalah komitmen, kami sebagai satu kumpulan mahu maju, menjadi lebih baik dan bermain bola sepak yang bagus. Mereka (pemain) mempunyai keupayaan, kami perlu menjadikan mereka lebih kuat supaya kami boleh membinanya," katanya.
Penyerang Chris Wood menjaringkan dua gol di laman The Foxes kendalian Steve Cooper untuk menjadikan jumlah koleksi gol musim ini kepada tujuh, di belakang Erling Haaland dari Manchester City (10 gol).
Mengulas potensi Wood pemain kelahiran Auckland, New Zealand juga kapten The All Whites, Nuno Espirito Santo berkata: “Dia telah melaksanakan tugasan yang menakjubkan.
"Ia bukan sekadar gol, sebaliknya komitmen dan kerja keras di padang, selain suara dalam bilik persalinan. Kami gembira dengannya, dia berhak mendapat detik ini."
Forest selepas ini akan melayan kunjungan West Ham United di City Ground.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!