Nafuzi harap isu tunggakan gaji pemain KDA FC diselesaikan segera
PEMAIN pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC berharap isu tunggakan gaji dapat diselesaikan segera bagi meningkatkan semangat menghadapi perlawanan seterusnya dalam Liga Super.
Ketua Jurulatih KDA FC, Mohd Nafuzi Zain berkata, bahawa penyelesaian isu tersebut akan membawa khabar gembira kepada pemain dan menjadi dorongan untuk mereka membuat persiapan yang lebih rapi.
"Dalam masa singkat ini, kita akan bertemu beberapa pasukan termasuk Sabah selepas ini. Kita hanya ada tiga atau empat hari untuk persiapan. Sabah memiliki pemain yang berkualiti, jadi kita perlu benar-benar bersedia dari segi persediaan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan yang menyaksikan KDA FC sekadar berkongsi satu mata apabila seri 1-1 menentang PDRM di Stadium Darul Aman, di sini Jumaat malam.
Mohd Nafuzi turut menambah bahawa semangat pemain KDA FC masih kuat, namun mereka memerlukan ‘penyuntik tenaga’ untuk memberikan motivasi luar biasa sebagai ‘tonik’ tambahan, yang kita semua sudah sedia maklum kepentingannya.
Gol KDA FC dijaringkan oleh Jose Clayton pada minit ke-28, sementara gol PDRM diperoleh menerusi Aremu Timothy pada minit ke-56.
Mohd Nafuzi bagaimanapun meluahkan rasa bangga dengan pemainnya yang terus menunjukkan sikap profesional dan berjuang habis-habisan untuk memastikan pasukan tidak tercicir mata di halaman sendiri dalam perlawanan malam tadi.
Sementara itu, Ketua Jurulatih PDRM, P Maniam, berpuas hati dengan prestasi pemainnya yang berjaya mengikat KDA FC dan membawa pulang satu mata yang berharga.
"Bukan mudah bermain di Kedah. Mereka adalah pasukan yang kuat dengan pemain yang berkualiti, jadi memperoleh satu mata di sini adalah sangat bernilai untuk pasukan,” katanya.
Kim Swee puji disiplin pemain Sabah FC benam Penang FC 4-0
KETUA Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, memuji tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh anak buahnya sepanjang 90 minit permainan ketika membenam Penang FC dengan jaringan 4-0 di Stadium Bandaraya pada Jumaat malam.
Menurut Kim Swee, sejak awal beliau menekankan kepentingan disiplin, dan perkara itu diterjemahkan dengan baik oleh setiap pemain.
Selain itu, pemain juga menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengekang pasukan tuan rumah daripada mencipta sebarang peluang untuk menembusi gawang mereka.
"Keputusan ini amat baik kerana selepas kemenangan di Manjung, Perak, kita sekali lagi meraih tiga mata penting di tempat lawan.
Namun, yang lebih positif adalah kita tidak dibolosi, sesuatu yang sudah lama tidak terjadi untuk pasukan Sabah,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.
Kim Swee berkata, semangat juang tinggi dan kerjasama yang kukuh antara pemain turut menjadi faktor utama dalam pencapaian cemerlang mereka pada perlawanan kali ini.
Sementara itu, Penang FC yang turun tanpa kelibat ketua jurulatih Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang dikhabarkan mengambil cuti, nyata longlai hingga tewas buat kali ketiga di hadapan penyokong sendiri.
Pembantu Ketua Jurulatih, Mat Saiful Mohamad, yang menggalas tanggungjawab mengemudi pasukan bersama Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak, nyata kecewa dengan prestasi pasukan dan mengakui sukar menerima kekalahan berturut-turut walaupun pada sesetengah masa mereka mencipta peluang jaringan.
"Selepas menukar formasi dari 4-3-3 ke 4-4-2 pada separuh masa kedua, kita mula menguasai permainan dan mencipta peluang, tetapi pemain sudah berikan yang terbaik dan inilah kualiti yang kita miliki buat masa ini,” katanya.
Mat Saiful turut menyatakan bahawa ketiadaan dua pemain tengah utama, Rafael Vitor dan Khairul Azrin, memberi kesan kepada mutu persembahan Harimau Kumbang. Beliau berharap pemain kelahiran Brazil, Rafael Vitor, dapat kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Rafael Vitor mungkin boleh beraksi pada perlawanan akan datang, tetapi Khairul Azrin dijangka mengambil masa kerana kecederaannya agak serius,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!