Ringgit dijangka diniagakan mendatar minggu depan

Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga mendatar pada minggu depan dalam julat 4.34-4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pasaran menunggu pemilihan presiden negara maju itu pada 5 November ini.Foto hiasan
Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga mendatar pada minggu depan dalam julat 4.34-4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pasaran menunggu pemilihan presiden negara maju itu pada 5 November ini.Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka menyaksikan urus niaga mendatar pada minggu depan dalam julat 4.34-4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pasaran menunggu pemilihan presiden negara maju itu pada 5 November ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran juga akan kekal dengan sentimen berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi AS.

"Maklumat penting itu berkaitan dengan penggajian bukan perladangan yang dijangka lebih perlahan (dari segi pertumbuhan) kepada 140,000 dalam Oktober berbanding 254,000 pada September manakala kadar pengangguran pula dijangka kekal pada 4.1 peratus dalam Oktober,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, pasaran juga menganggap ekonomi AS masih mantap dan Rizab Persekutuan akan bertindak melonggarkan dasar monetarinya secara berperingkat.

"Oleh itu, tumpuan lebih kepada pilihan raya presiden AS -- calon manakah yang akan menang serta apakah keutamaan dasar ekonominya,” katanya.

Beliau berkata Tabung Kewangan Antarabangsa pada minggu ini telah bertindak melakukan semakan semula dan menyemak turun Keluaran Dalam Negara Kasar AS sebanyak 0.1 peratus kepada 3.2 peratus bagi 2025.

"Penyebab utama semakan semula itu adalah susulan keadaan ekonomi Eropah yang lemah, faktor geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan, pertumbuhan China yang perlahan serta dasar perdagangan yang bersifat melindungi (kepentingan negara),” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, ringgit diniagakan bercampur-campur diasak ketidaktentuan berkaitan keputusan pilihan raya presiden AS, perkembangan geopolitik di Timur Tengah serta pengumuman data inflasi Malaysia yang menunjukkan dasar monetari kekal tidak berubah dalam jangka terdekat.

Artikel Berkaitan:

Asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat menyaksikan ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.3405/3450 daripada 4.3045/3075, seminggu lepas.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Berbanding euro, ringgit susut kepada 4.6977/7026 pada Jumaat berbanding 4.6674/6706 seminggu sebelumnya dan turun berbanding pound Britain kepada 5.6348/6407 daripada 5.6109/6148.

Selain itu, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8554/8586 daripada 2.8708/8730 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang ASEAN, termasuk peso Filipina yang meningkat kepada 7.44/7.45 daripada 7.48/7.49.

Mata wang tempatan itu turut meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8425/8619 daripada 12.9579/9916, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/277.8 daripada 278.0/278.3 dan sebaliknya susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2870/2907 daripada 3.2791/2817 pada minggu sebelumnya.


Niaga hadapan emas dijangka diniagakan tinggi minggu depan

KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan tinggi minggu depan ketika para pelabur bersiap sedia menghadapi keadaan pasaran yang tidak menentu menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pelabur sedang memantau rapat perkembangan pilihan raya presiden AS dengan rasa gelisah, terutamanya sekiranya kemenangan berpihak kepada Parti Republikan kerana kecenderungan parti itu kepada perlindungan perdagangan boleh menjejaskan kestabilan perdagangan global.

"Kebimbangan hutang AS yang semakin meningkat dan ketidaktentuan ekonomi menjadikan emas pilihan utama dalam tempoh tidak menentu ini, dan permintaan kukuh itu dijangka berterusan hingga ke minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Innes menjangka, emas mencecah AS$2,800.00 setiap auns troy menjelang pilihan raya presiden yang akan diadakan pada 5 November.

Bagi asas Jumat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2024 ditutup tinggi minggu ini kepada AS$2,720.90 setiap auns troy daripada AS$2,718.00 pada minggu sebelumnya dan November 2024 naik kepada AS$2,737.20 setiap auns troy berbanding AS$2,733.00.

Kontrak Disember 2024, Januari 2025 dan Februari 2025 ditutup tinggi pada AS$2,745.30 setiap auns troy daripada AS$2,741.10 pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan menokok kepada 173 lot daripada 59 lot pada minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 21 kontrak berbanding 40 kontrak sebelumnya.

Menurut harga penetapan London Bullion Market Association pada 24 Oktober, haga emas fizikal berada pada AS$2,732.00 setiap auns troy.


Pasaran getah dijangka tidak berubah minggu depan

PASARAN getah tempatan dijangka diniagakan dalam mod mendatar minggu depan, dengan permintaan dan harga kekal rendah, menurut pakar industri Denis Low.

Beliau berkata, pasaran juga akan mengalami aliran tidak banyak berubah berikutan aktiviti lazim pengisian semula stok, manakala minat terhadap pembelian stok getah tambahan akan kekal buat masa ini.

"Ketidaktentuan dalam ekonomi global boleh menyebabkan turun naik harga dan permintaan, namun, buat masa ini, pasaran akan menyaksikan aktiviti lazim pengisian semula stok,” kata Denis kepada Bernama.

Beliau juga berkata, cadangan penangguhan 12 bulan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) melegakan beberapa syarikat dan kerajaan antarabangsa.

Bagaimanapun, banyak organisasi alam sekitar telah mengkritik penangguhan itu, kata Denis.

"Ini juga mungkin memperlahankan aktiviti penyimpanan stok getah disebabkan ketidaktentuan pematuhan dan potensi perubahan pasaran," katanya.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) kekal optimistik terhadap prospek pasaran getah, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah dan pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS), walaupun kebimbangan bekalan berterusan.

"Cabaran seperti penurunan kecil harga lateks, prestasi ekonomi bercampur-campur di China, dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran," katanya.

MARGMA berkata, walaupun pertumbuhan dalam sektor automotif China mungkin memberikan sedikit peningkatan, ia tetap berwaspada dan akan memantau dengan teliti perkembangan dinamik ini ketika mengharungi minggu-minggu akan datang.

Seorang lagi peniaga berkata, pengendali pasaran akan terus memantau penunjuk ekonomi global, terutamanya petunjuk mengenai pemotongan kadar faedah AS dan keberkesanan rangsangan China terhadap prestasi ekonomi.

"Mereka juga akan memerhatikan perkembangan berkaitan EUDR, konflik Timur Tengah, dan keputusan pilihan raya AS," katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) menurun 9.5 sen kepada 862.5 sen sekilogram daripada 872 sen sekilogram minggu lepas.

Lateks pukal turun 7.5 sen kepada 750 sen sekilogram daripada 757.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 fizikal berada pada 855 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 746.5 sen sekilogram.


Niaga hadapan FBM KLCI dijangka tidak banyak berubah minggu depan

KONTRAK niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal dalam keadaan tidak banyak berubah minggu depan, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, pihaknya menjangkakan sentimen kekal lemah memandangkan pelabur menunggu pemangkin pasaran baharu.

"Susulan ketiadaan pemangkin baharu, FBM KLCI dijangka mengalami dagangan tidak berubah dengan pergerakan sedikit meningkat dalam julat 1,615 hingga 1,630,” katanya kepada Bernama.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Oktober 2024 dan Mac 2024 masing-masing susut 19.0 mata kepada 1,616.0 dan 1,611.0 manakala November 2024 merosot 27.5 mata kepada 1,620.5 dan Disember 2024 turun 8.0 mata kepada 1,623.5.

Jumlah dagangan melonjak kepada 64,552 lot daripada 32,305 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 74,284 kontrak daripada 46,103 kontrak.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 27.69 mata kepada 1,618.30 daripada 1,645.99 minggu lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!