Wanita cari ibu kandung anak angkat untuk urusan dokumen
MERSING - Seorang wanita di Felda Endau di sini, mencari ibu kandung kepada anak angkatnya bagi urusan dokumentasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Siti Asiah Samion, 47, berkata, anak angkatnya Nur Aleeya Abdul Rahman, 4, telah dianggap seperti anak kandung sendiri selepas dijaga sejak lahir lagi.
Menurutnya, JKM memerlukan surat akuan pengesahan penyerahan Nur Aleeya daripada ibu kandungnya, Ananda Ramania yang merupakan warga Indonesia.
"Kami memelihara Nur Aleeya selepas dia dilahirkan. Ibunnya memaklumkan tidak dapat menjaga bayinya kerana Nur Aleeya yang lahir dalam keadaan tidak cukup bulan ketika itu.
"Wanita itu bimbang tidak mampu jaga anaknya dengan baik lalu menyerahkan kepada saya untuk dijaga sejak itu saya tidak pernah berjumpanya lagi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, Nur Aleeya kini sudah berusia empat tahun dan akan memasuki pra sekolah pada tahun depan.
"Saya dan suami bercadang untuk menghantar Nur Aleeya ke sekolah untuk belajar seperti kanak-kanak seusianya.
"Saya amat menyayangi Nur Aleeya dan berharap agar dia dapat membesar serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain," ujarnya.
Menurut Siti Asiah, dia amat mengharapkan kerjasama dari ibu kandungannya untuk hadir ke pejabat JKM bagi melancarkan urusan proses anak angkat tersebut.
Orang ramai yang mengenali ibu Nur Aleeya diminta menghubungi suaminya Shamsuri Don di talian 0167087157.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!