'Allahyarham Muhammad Fakrul Danish tunggu panggilan temu duga TUDM'

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Muhammad Fakrul Danish)
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Muhammad Fakrul Danish)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Atlet Persatuan Kriket Negeri Terengganu, Muhammad Fakrul Danish Mohd. Junaizi, 20, yang terkorban dalam nahas di Jalan Gua Musang-Lojing, pada Jumaat sedang menunggu panggilan temu duga untuk menyertai pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Jurulatih Pasukan Kriket Terengganu, Kamarudin Husin berkata, anak didiknya itu merupakan seorang pemain berdisiplin dan komited dalam setiap latihan dan perlawanan yang disertai serta mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan kriket.

"Allahyarham merupakan tonggak utama pasukan kriket Terengganu dan sebahagian daripada skuad projek Sukma 2026/28 yang berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, Setiu.

"Sebenarnya perancangan kami mahu menyerap masuk Allahyarham untuk beraksi mewakili pasukan kriket TUDM dan mereka (TUDM) juga bersetuju, namun hasrat itu tidak kesampaian," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Menurunya, kejadian menimpa Allahyarham amat mengejutkan seluruh pasukan yang baru memenangi pingat gangsa sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2024, baru-baru ini.

"Saya dapat tahu kejadian menimpa Allahyarham bersama tiga lagi ahli keluarga diketahui sekitar jam 4 petang pada Jumaat sebaik tiba di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan," katanya.

Beliau berkata, sepanjang penglibatan dalam dalam sukan, Muhammad Fakrul Danish tidak banyak kerenah dan sentiasa mendengar cakap guru.

"Allahyarham menunjukkan kesungguhan ketika latihan atau perlawanan menyebabkan dia sentiasa disenangi rakan atau pasukan lawan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, pihaknya akan menyedian bantuan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham dan kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada keluarga mangsa.

Nahas berlaku kira-kira jam 11 pagi itu turut mengorbankan bapa Muhammad Fakrul Danish, Mohd. Junaizi Jusoh, 48; ibunya, Shazwani Ismail, 39; serta ibu saudaranya, Farhana Ismail, 35.

Selain itu, seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori, G. Mageswaran, 53 juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!