Polis tumpas sindiket seludup lembu di Kelantan
KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan sindiket penyeludupan 16 ekor lembu dianggarkan bernilai RM156,000 selepas menahan sebuah lori di Jalan Kasban dekat Jeram Perdah, Pasir Mas pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua lembu seberat 10,400 kilogram itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada 9.30 pagi selepas dilihat agak mencurigakan ketika anggota Batalion 8 membuat rondaan Op Taring Wawasan.
"Hasil pemeriksaan di belakang lori menemukan 16 ekor lembu dan pemandu gagal menunjukkan dokumen berkaitan ternakan yang dibawa dan disyaki dia menjadi penghantar haiwan itu untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Berikutan itu, kesemua rampasan diserahkan kepada Komtak Jeram Perdah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Sementara itu, polis menahan seorang suspek lelaki berumur 29 tahun yang menaiki kereta pacuan empat roda di Sekat Pintas Pos Simpangan dekat Tumpat kira-kira 5 petang Jumaat kerana disyaki menyeludup 307 liter petrol dianggarkan bernilai RM30,000.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati ada tangki tambahan berisi lebih 300 liter petrol disyaki untuk diseludup ke Thailand dan kesemua rampasan diserahkan ke Komtak PGA Pengkalan Kubor bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!