Permohonan maaf Najib tidak boleh jadi pelindung tutup salah laku 1MDB - AMK

Permohonan maaf Najib dibacakan oleh anaknya,Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Permohonan maaf Najib dibacakan oleh anaknya,Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diteruskan dan permohonan maaf tidak boleh menjadi pelindung terhadap mana-mana pihak bertanggungjawab di atas salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam satu kenyataan berkata, kepentingan awam dan keadilan untuk rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi.

"Permohonan maaf semata tidak akan memulihkan kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia.

"Mereka yang terpaksa menghadapi kesan daripada skandal ini tidak boleh diabaikan.

"AMK menuntut kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan bahawa tindakan tegas diteruskan dan semua yang terlibat dalam skandal ini, tanpa mengira status atau kedudukan dibawa ke muka pengadilan," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan dikeluarkan itu sebagai maklum balas terhadap permohonan maaf bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai salah laku yang berlaku dalam 1MDB terutama ketika di bawah pengawasannya selaku Menteri Kewangan.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Menerusi kenyataan dibacakan itu, Najib menjelaskan tidak pernah sekalipun bersubahat atau bersekongkol Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) namun dihukum atas tanggungjawab yang dipikul.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, AMK menekankan kewajipan untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran awam harus diutamakan supaya kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan dapat dipulihkan.

"1MDB bukan sahaja mencemarkan nama baik negara, tetapi juga mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

"Rakyat Malaysia berhak untuk melihat keadilan ditegakkan dan mengembalikan maruah negara yang telah dicemari," kata kenyataan itu.

Pada masa sama, AMK juga mengalu-alukan usaha Kerajaan Madani dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Usaha ini membuktikan komitmen Kerajaan Madani untuk memulihkan ekonomi, memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memperbaiki tatakelola pentadbiran awam secara menyeluruh.

"Kami berharap Malaysia akan terus bangkit dan menjadi penggerak ekonomi serantau di bawah kepimpinan Perdana Menteri," kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!