Polis buru dua lelaki serang peguam di Pulau Pinang

 Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada Selasa lepas. Gambar hiasan
Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada Selasa lepas. Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyerang seorang peguam sehingga cedera dalam kejadian di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh 2 di sini pada Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, serangan yang berlaku kira-kira 9.50 pagi itu menyebabkan mangsa seorang lelaki warga tempatan dan berusia 37 tahun menerima tujuh jahitan di kepala.

"Polis kini giat memburu dua lelaki tempatan dan berdasarkan siasatan, mereka diupah oleh seseorang atau 'mastermind' untuk menyerang peguam itu dengan menggunakan besi.

"Dua lelaki itu menaiki sebuah kereta semasa kejadian namun pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu, kami percaya insiden itu bukan bermotifkan samun," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Terdahulu, Badan Peguam Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan insiden serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.

"Serangan hendap yang dirancang itu bukan sahaja serangan ke atas individu tetapi juga serangan terhadap kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan berkenaan.

Swee Sake berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut daripada pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

''Pihak polis juga meminta kerjasama saksi atau sesiapa yang nampak kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!