[VIDEO] Sabah bakal keluarkan hampir 10 tan bawang merah Kundasang

A
A
A

RANAU - Penanaman bawang merah secara berskala besar yang pertama di Sabah akhirnya berjaya mengeluarkan hasil di mana penuaiannya bakal menghasilkan hampir 10 tan bawang merah daripada varieti BAW-2.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup berkata, bawang merah itu dihasilkan melalui penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah dalam negara.

Menurutnya, penelitian bawang merah juga turut melibatkan beberapa kajian utama iaitu mengapdaptasi varieti dengan agroklimat negara, penanaman secara berskala besar, kawalan serangan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai dan risikan pasaran dalam dan luar negara.

Arthur (dua dari kanan) bersama pengusaha tanaman bawang merah, Syahrizal (kiri) ketika menuai bawang merah ketika melawat plot tanaman bawang merah di Kampung Tanah Merah, Mesilau, Kundasang. FOTO SINAR HARIAN-ASYIKIN ASMIN
Arthur (dua dari kanan) bersama pengusaha tanaman bawang merah, Syahrizal (kiri) ketika menuai bawang merah ketika melawat plot tanaman bawang merah di Kampung Tanah Merah, Mesilau, Kundasang. FOTO SINAR HARIAN-ASYIKIN ASMIN

"Hasil kajian awal mendapati bahawa tiga varieti bawang iaitu BAW-1, BAW-2 dan juga BAW-3 mempunyai potensi yang tinggi untuk ditanam sesuai dengan iklim yang kita ada di Malaysia.

"Maka melalui mandat yang diberikan oleh kementerian, Mardi secara aktif telah mengeluarkan benih bawang merah melalui dua fasa iaitu fasa pra pengkomersialan pada tahun 2024 hingga 2025 dan fasa pengkomersialan yang bermula daripada 2026 sehingga 2030," katanya.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, walaupun belum mampu menoktahkan kebergantungan import bawang merah dari luar negara namun dengan penanaman itu akan mengurangkan harga berbanding bawang merah import.

"Kita sangat bergantung kepada import bawang merah khususnya dari negara India, Thailand dan dan Belanda.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kebelakangan ini, harga bawang yang kita beli dari sana agak terlalu mahal atas faktor seperti banjir, geopolitik dan sebagainya.

"Jadi tujuan kita mewujudkan varieti kita tersendiri adalah untuk mengurangkan kebergantungan dan sasaran bagi negara kita menjelang tahun 2030, mudah-mudahan kita dapat mewujudkan sekurang-kurangnya 30 peratus kadar sara diri bawang merah negara untuk mengurangkan kebergantungan yang terlalu tinggi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!