Wanita ditahan bantu siasatan kes bunuh

Lelaki warga emas mati dipercayai dibunuh dalam kejadian di Chemor pada Jumaat. Foto: ihsan pembaca (Gambar kecil: Abang Zainal Abidin)
Lelaki warga emas mati dipercayai dibunuh dalam kejadian di Chemor pada Jumaat. Foto: ihsan pembaca (Gambar kecil: Abang Zainal Abidin)
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, Chemor pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 64 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum melaporkan kepada polis pada jam 6.13 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa tidak menemui kesan kecederaan.

"Bagaimanapun, mangsa mempunyai kesan serangan fizikal.

"Siasatan yang dijalankan berjaya membawa tangkapan terhadap suspek berusia 24 tahun bagi membantu siasatan," katanya di sini pada Sabtu.

Mangsa berusia 64 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri. Foto Ihsan orang awam
Mangsa berusia 64 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri. Foto Ihsan orang awam

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata, suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dengan niat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Sukjit Singh di talian 019-5505536 atau tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!