Tabib Adam perlu tunjuk dokumen nikah - Rahmad
MELAKA - Pengasas Perubatan Islam Jarak Jauh yang lebih dikenali sebagai Tabib Adam 'ghaib' bukan sahaja telah menghilangkan diri namun sehingga sekarang gagal membuktikan dokumen perkahwinan dengan wanita yang didakwa isterinya kepada pihak berkuasa.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerana itu individu terbabit atau nama sebenarnya Adam Isa diminta tampil memberikan kerjasama terhadap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, bagaimanapun usaha mengesan individu itu giat dijalankan termasuk bantuan daripada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap Tabib Adam dijalankan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, pengasas perubatan di Kampung Lekuk Masjid Tanah itu mempunyai lebih seorang isteri, namun masih tidak ketahui status pernikahannya dengan wanita-wanita berkenaan.
"Kita panggil untuk siasatan lanjut Tabib Adam dan isterinya kerana dia kena menjawab mengenai tatus perkahwinannya itu.
"Dia kata dah bernikah, tapi sehingga sekarang gagal menunjukkan sebarang dokumen pernikahan dan perbuatannya ini boleh dijatuhkan di bawah Enekmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka," katanya.
Rahmad berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Karnival Sejahterakan Bandarayaku Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais di Kompleks JAPERUN Ayer Molek di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Tambah Rahmad, pusat perubatan yang telah difatwa haram juga telah disita namun JAIM akan terus memantau supaya mereka akur dan tidak lagi meneruskan operasi.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Tabib Adam 'ghaib' dipercayai telah melarikan diri selepas Melaka memfatwakan kaedah perubatan dilakukannya adalah haram.
Rahmad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan individu yang nama sebenarnya Adam Isa telah melarikan diri bersama isteri ke negeri asalnya di Singapura.
Menurutnya, serbuan yang diketuai JAIM pada Khamis bermula jam 11.30 pagi itu mendapati pusat rawatan dan tempat jualannya telah ditutup, namun terdapat dua anaknya iaitu lelaki dan perempuan.
Katanya, JAIM juga akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengesan individu itu bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!