Kegiatan seludup lembu, kambing jejas industri ternakan negara

Mohamad (tengah) bergambar bersama pesawah selepas menyampaikan replika cek Tabung Bencana Tanaman Padi dan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Kepada Pesawah Fasa 1 di Pertubuhan Peladang Kawasan Nilam Puri pada Sabtu.
Mohamad (tengah) bergambar bersama pesawah selepas menyampaikan replika cek Tabung Bencana Tanaman Padi dan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Kepada Pesawah Fasa 1 di Pertubuhan Peladang Kawasan Nilam Puri pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kegiatan penyeludupan haiwan ternakan, lembu dan kambing di sempadan Malaysia-Thailand perlu segera dibanteras kerana menjejaskan industri ternakan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kegiatan itu menyebabkan ada penternak mula menarik diri kerana tidak mampu bersaing dengan harga haiwan seludup yang dijual jauh lebih rendah.

“Haiwan yang dibawa masuk secara haram dari Thailand dijual sekitar RM280 hingga RM300 bagi seekor kambing berbanding harga penternak tempatan paling murah bermula dengan harga RM500.

“Oleh sebab itu, ramai penternak berputus asa kerana perniagaan mereka tidak mendapat sambutan dan berdepan kerugian kerana ternakan yang diseludup dijual lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan replika cek Tabung Bencana Tanaman Padi dan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Kepada Pesawah Fasa 1 di Pertubuhan Peladang Kawasan Nilam Puri, di sini, pada Sabtu.

Mohamad berkata, selain menjejaskan penternak, kemasukan lembu dan kambing tanpa pemeriksaan itu juga dibimbangi membawa pelbagai penyakit.

“Perkara ini sudah lama berlaku memandangkan sempadan negara yang sempit terutamanya di Sungai Golok

“Apabila musim kemarau, air cetek sehingga boleh dilalui dengan motosikal atau berjalan kaki,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mohamad meminta pihak yang berperanan menjaga sempadan dengan meningkatkan lagi kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan haiwan ternakan.

“Kawalan ketat di sempadan akan membantu penternak dan mengawal kemasukan penyakit bawaan dari haiwan tersebut,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!