'Biasanya anak, menantu bermalam di hotel jika perjalanan jauh' - Ibu mangsa

Mariah (kiri) bersama ahli keluarga berada di Unit Forensik HTAA bagi menuntut jenazah anak dan menantu bagi urusan pengebumian. Foto Sinar Harian
Mariah (kiri) bersama ahli keluarga berada di Unit Forensik HTAA bagi menuntut jenazah anak dan menantu bagi urusan pengebumian. Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Ibu kepada pasangan suami isteri yang maut selepas melanggar jentera pengorek tanah awal pagi Sabtu beranggapan tindakan anak dan menantu tidak bermalam di hotel selepas berubat menunjukkan seolah-olah mereka sudah merasai panggilan terakhir.

Mariah Fadil, 66, berkata, kebiasaan anaknya, Mohd Fadli Mohd Abidin, 42, dan isteri, Rohafiza Taha, 50, akan bermalam di hotel setiap kali mereka pulang dari perjalanan jauh.

Mariah (kiri) mengakui reda dengan kejadian menimpa keluarganya. Foto Sinar Harian
Mariah (kiri) mengakui reda dengan kejadian menimpa keluarganya. Foto Sinar Harian

Menurutnya, namun perjalanan ke Melaka pada Jumaat, menyebabkan mereka memilih untuk segera pulang ke rumah mereka di Kemaman, Terengganu.

"Kebiasaan mereka tidur dulu (bermalam) sebelum balik (dari perjalanan jauh) tapi semalam, mereka terus balik.

"Mungkin ajal sudah panggil sebab itu mereka tidak boleh tidur hotel dan kena balik segera," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Sabtu.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui berat ujian perlu ditempuh, namun pasrah dengan kehilangan anak dan menantunya dalam nahas terbabit.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Rohafiza bersama anaknya. Foto Sinar Harian
Gambar kenangan Rohafiza bersama anaknya. Foto Sinar Harian

Wanita yang menetap di Muar, Johor Bahru, itu berkata, dia tidak mengetahui mengenai rancangan anak sulungnya untuk berubat di Melaka.

"Dia (Mohd Fadli) tak bagi tahu, (tapi) saya hanya diberitahu setelah menerima panggilan daripada pihak Balai Bomba Taman Tas pada pagi tadi bahawa anak dan menantu saya maut.

"Cucu saya pula cedera parah dan masih tidak sedarkan diri. Saya reda kerana semua ALLAH tentukan, (kerana) kita hanya (mampu) merancang," ujar wanita itu dengan nada sebak.

Suasana di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian
Suasana di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian

Bercerita lanjut, Mariah berkata, Mohd Fadli adalah bekas anggota bomba dan terpaksa memilih bersara awal akibat menghidap penyakit jantung dua tahun lalu.

Jelasnya, anaknya perlu memberi tumpuan kepada pemulihan menyebabkan mereka jarang bertemu.

"Sudah sebulan saya tidak jumpa dia (Mohd Fadli) kerana perlu jalani rawatan jantung di Kuantan dan kadang kala di Hospital Muar," katanya.

Mariah turut menyifatkan Rohafiza sebagai seorang menantu yang sangat baik, dan ketiadaannya dirasai seluruh keluarga.

"Sukar untuk menggambarkan rasa kehilangan ini, kerana selain Mohd Fadli, Rohafiza juga merupakan insan yang baik dalam keluarga kami," luah Mariah dengan penuh kesedihan.

Mariah. Foto Sinar Harian
Mariah. Foto Sinar Harian

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pasangan suami isteri maut manakala anak mereka berusia 11 tahun cedera dalam kemalangan berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Melaysia (TUDM) di Batu 10, Jalan Kuantan-Maran, di sini, pada Sabtu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!