Program Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah angkat martabat warisan

Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Program Semarak @ Muzium Kota Kuala Kedah di pekarangan Muzium Kota Kuala Kedah bermula Jumaat hingga Sabtu.
Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Program Semarak @ Muzium Kota Kuala Kedah di pekarangan Muzium Kota Kuala Kedah bermula Jumaat hingga Sabtu.
A
A
A

KUALA KEDAH - Jabatan Muzium Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah yang berkonsepkan muzium bersama komuniti sebagai platform dan usaha progresif dalam mengangkat dan memartabat pelbagai warisan tradisi, seni, budaya serta sejarah negara khususnya di Kedah.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim berkata, program selama dua hari terbabit turut bermatlamat memperkukuh perpaduan nasional rakyat berbilang kaum, sekali gus meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi tonggak kekuatan identiti negara Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelbagai program giat dilaksanakan seperti Bicara@Muzium, Bermalam di Muzium, IPIM, Ambang Merdeka, Kenali Muzium Kota Kuala Kedah, Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Kedah dan Program outreach ke sekolah-sekolah di Kedah, selain program Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah.

"Selain itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program Semarak@Muzium seperti pameran, jualan, persembahan kebudayaan, pertandingan dan sukan rakyat.

"Jabatan Muzium Malaysia sentiasa komited dalam mempertingkatkan usaha merancang dan menganjurkan pelbagai program serta aktiviti permuziuman yang dapat memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan menghargai sejarah dan budaya negara," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Program Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah: Muzium dan Komuniti di pekarangan Muzium Kota Kuala Kedah, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kolej Poly Tech Mara, Nor Asmah Said; Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman Jabatan Muzium Malaysia, Mohd Razaimi Hamat dan Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.

Sebelum itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin menyempurnakan program selama dua hari bermula Jumaat anjuran Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Kota Kuala Kedah itu.

Artikel Berkaitan:

Kamarun Baharin berkata, program Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah 2024 turut mendapat kerjasama daripada Kolej Poly-Tech MARA Alor Setar melalui acara Mencipta Rekod 700 peserta memperagakan pakaian tradisional Melayu di kawasan Muzium Kota Kuala Kedah.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, Muzium Kota Kuala Kedah merupakan salah satu daripada 22 muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia.

"Muzium ini memiliki pelbagai peninggalan artifak sejarah, antara lain termasuklah peninggalan bekas kota, koleksi artifak, pintu gerbang, tapak istana dan maklumat sejarah Kota Kuala Kedah," katanya.

Tambah beliau lagi, Kota Kuala Kedah yang merupakan antara kubu pertahanan Melayu tertua di Semenanjung Malaysia.

"Justeru, Jabatan Muzium Malaysia telah memulakan usaha membangunkan pelan Naratif Baru Kota-Kota Lama bagi memberikan nilai tambah terhadap produk muzium serta tinggalan kota dengan pendekatan yang lebih interatif dan berdaya saing tanpa mengetepikan elemen pemeliharan dan pengekalan warisan sejarahnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Salleh berkata, Program Semarak@Muzium Kota Kuala Kedah ini menunjukkan satu inisiatif dan usaha Jabatan Muzium Malaysia untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk mempelbagaikan produk-produk pelancongan dalam menarik kedatangan pelancong ke Kedah.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif ini dan melihat ia sebagai peluang yang besar dan berpotensi untuk membangunkan industri pelancongan negeri secara amnya.

"Oleh itu, usaha ini harus dipuji kerana bukan sahaja dapat menjadikan tapak dan monumen sejarah ini sebagai produk pelancongan malah dapat menjana ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan-usahawan di dalam program ini," katanya.

Beliau berpandangan, pengisian program di Muzium Kota Kuala Kedah dilihat relevan dengan kepelbagaian pengisian melibatkan pelbagai kaum, seni dan budaya.

"Ia juga mengangkat salah satu peristiwa yang kini menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah negara sebagai titik untuk kita mengenali diri sebagai warganegara yang mencintai negara.

"Penting sekali kita semua menoleh kembali ke belakang dan menjadikan segala peristiwa sejarah yang telah berlaku sebagai pengajaran, iktibar dan pedoman dalam membangunkan kerangka sebuah negara bangsa yang memiliki jati diri yang tinggi pada masa hadapan," katanya.

Mohd Salleh berkata, melalui program ini juga, beliau dapat melihat penglibatan masyarakat majmuk dari pelbagai lapisan usia yang memberikan satu isyarat positif bahawa Kedah berpeluang untuk maju ke hadapan dalam industri pelancongan dengan mengetengahkan kepelbagaian kaum dan budaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!