Akaun 'sexual grooming': Fahmi sahkan SKMM ada terima aduan

Fahmi ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends sempena Persidangan MIH Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama
Fahmi ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends sempena Persidangan MIH Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di akaun media sosial.

Beliau berkata, SKMM sedang bekerjasama dengan Meta dan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

"PDRM akan mengenal pasti jenis aktiviti yang sedang berlangsung dalam kumpulan tersebut, dan jika terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil.

"SKMM selaku agensi teknikal akan membantu dalam pemeliharaan data dan profil akaun berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tentang kewujudan beberapa kumpulan di akaun media sosial yang menjurus kepada aktiviti pengantunan kanak-kanak.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu mengibarkan bendera negara China di Teluk Intan, Perak, Fahmi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya juga telah baca sendiri komen-komen bersifat 3R (raja, agama dan kaum) yang berlegar (di media sosial) mengenai isu ini dan ingin memberi peringatan elakkanlah daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan atau 3R terutama isu perkauman.

"Pihak SKMM sedang meneliti dan bekerjasama dengan PDRM untuk mengenal pasti mereka yang cuba menghasut dalam isu ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular video perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mengibarkan bendera negara asing di media sosial yang melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan bahawa perarakan yang tular di media sosial adalah sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan beberapa keterangan telah diambil untuk membantu siasatan berkaitan isu tersebut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!