Pembakaran terbuka: Sembilan pemilik tanah dikompuan

Wan Aminordin (tiga dari kiri) mengiringi Hilmi merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
Wan Aminordin (tiga dari kiri) mengiringi Hilmi merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengeluarkan kompaun ke atas sembilan pemilik tanah di negeri ini selepas didapati melakukan pembakaran terbuka mulai Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarahnya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, dalam tempoh itu juga pihaknya turut membuka tiga kertas siasatan untuk dibawa di mahkamah.

"Kesemua tindakan yang diambil hasil 234 operasi rondaan mencegah pembakaran terbuka (OMPT) yang dilaksanakan JAS Kelantan bermula Januari hingga Oktober tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.

Beliau memberitahu, perkara itu dikesan kerana penduduk kampung suka membakar sampah secara terbuka namun sebelum kompaun, mereka sudah dinasihatkan supaya tidak melakukan kesalahan itu.

"Sehingga kini daerah Pasir Mas dan Bachok merekodkan pembakaran terbuka paling tinggi berikutan cuaca panas dan mempunyai tanah gambut," katanya.

"Sebelum kompaun dikeluarkan, pihak kami terlebih dahulu akan memberi amaran dan sekiranya ingkar, mereka dikenakan kompaun tanpa kompromi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Aminordin berkata, kerajaan sudah melaksanakan penambahbaikan dan pindaan dari masa ke masa bagi memastikan perundangan sentiasa relevan.

Tambah beliau, kerajaan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi memantapkan penguatkuasaan, pencegahan, dan jenayah alam sekitar dari terus berulang.

"Pindaan diwartakan pada 6 Jun lalu dan berkuatkuasa 7 Julai membabitkan hukuman denda dan penalti lebih tinggi yang memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM10,000 termasuk penambahan peruntukan penjara di bawah AKAS 1974.

"Pada masa sama, ia juga membabitkan Seksyen 29A, Larangan Pembakaran Terbuka yang mengenakan peruntukan denda minimum dan maksimum serta menaikkan jumlah denda lebih tinggi iaitu kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!