Tengku Permaisuri Norashikin berangkat ke Program World Animal Day 2024
KUALA LUMPUR - Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat menghadiri Program World Animal Day 2024 yang diadakan di Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Ampang dekat sini.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 10.50 pagi disambut oleh Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin.
Tengku Permaisuri Norashikin meluangkan masa hampir dua jam di acara tersebut dan berkenan menyampaikan anugerah penghargaan kepada 13 penerima yang merangkumi pihak penaja serta penyelamat dan pengasuh haiwan, sempena Inisiatif Potong Royong dan Stray Free Selangor (SFS) Ogos lepas.
Inisiatif tersebut merupakan projek lapangan yang melaksanakan pemandulan dan pensterilan haiwan terbiar bertujuan mengurangkan bilangan haiwan terbiar dan meningkatkan kesihatan dan keselamatan awam.
Baginda kemudian berkenan melawat beberapa reruai pameran haiwan sebelum berangkat pulang pada jam 1 tengah hari.
Hari Haiwan Sedunia di sambut pada 4 Oktober bertujuan memperjuangkan kebajikan haiwan dan mempromosikan layanan berperikemanusiaan terhadap semua haiwan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!