'Kali terakhir jumpa bapa, ibu ketika dihantar ke asrama'
HULU TERENGGANU - Anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 86, Jalan Gua Musang-Lojing, Kelantan pada Jumaat hanya sempat bertemu ibu dan bapanya minggu lalu.
Nur Jihan Irdina Mohd Junaizi, 13, berkata, ketika itu, ibunya, Shazwani Ismail, 39 dan bapanya, Mohd Junaizi Jusoh, 48, menghantarnya pulang ke asrama di Sekokah Menengah (SM) Sains Hulu Terengganu (SAHUT).
Nur Jihan Irdina berkata, dia mengetahui kejadian menimpa kedua mereka termasuk abangnya, Muhammad Fakrul Danish pada petang Jumaat.
"Saya berada di asrama sebelum diberitahu oleh rakan yang warden asrama memanggil saya.
"Waktu tu saya belum tahu lagi sebab apa warden panggil cuma saya diberitahu perlu balik ke rumah.
"Saya pun segera tukar pakaian dan menunggu ibu saudara saya datang ambil di kantin sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Payang Kayu, Kuala Berang, di sini.
Menurut Nur Jihan dia hanya mengetahui tiga ahli keluarganya terbabit kemalangan ketika berada dalam kereta.
"Waktu tu, barulah saya tahu sebab apa saya diminta pulang, rupanya mak, ayah dan abang saya meninggal dunia dalam kemalangan," ujarnya yang turut kehilangan ibu saudara, Farhana Ismail, 35, dalam nahas tersebut.
Nur Jihan yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mempunyai seorang adik iaitu Nur Anis Zahra Nazihah, 12, bersekolah di SK Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Buloh, di sini.
Jelas Nur Jihan, dia tidak mengikuti rombongan keluarganya untuk bercuti di Cameron Highlands kerana berada di asrama.
Ditanya lanjut mengenai siapa yang akan menjaga dia bersama adiknya, Nur Jihan berkata ia belum diputuskan lagi.
Bagaimanapun, difahamkan dua beradik yang kini bergelar yatim piatu itu akan tinggal bersama nenek mereka, Hasmah Abu Bakar, 60.
Sementara itu, Hasmah berkata, dia pasrah dan reda dengan kehilangan empat ahli keluarganya serentak.
"Saya pasrah dengan ketentuan Ilahi. Mungkin sampai di sini suratan perjalanan mereka dan saya doakan yang terbaik buat mereka. Terima kasih kepada semua yang membantu melancarkan urusan pengebumian mereka," ujarnya sebak.
Mengimbau kembali tragedi berdarah itu, Hasmah berkata, dia sama sekali tidak menyangka kereta dinaiki dua anak, menantu dan cucunya itu terlibat kemalangan.
"Saya ketika itu meneruskan perjalanan bersama sebuah kereta lain selepas mengisi minyak namun tidak kelihatan kereta dinaiki mereka yang ketika itu berada di belakang.
"Kami ada cuba menghubungi mereka beberapa kali namun panggilan tidak diangkat.
"Disebabkan kereta dinaiki mereka masih tidak kelihatan, kami berpatah balik untuk mencari namun terkejut apabila mendapati mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori," ujarnya.
Nahas berlaku kira-kira jam 11 pagi itu turut meragut nyawa, seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori, G. Mageswaran, 53 yang juga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!