MPPD keluar notis henti sewaan 'khemah biru' di Teluk Kemang
PORT DICKSON - Semua pengusaha khemah sewa di Pantai Teluk Kemang, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin di sini diarah menghentikan aktiviti perniagaan mereka.
Notis pemberhentian perniagaan sewaan terbabit yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan bertarikh 24 Oktober itu berkuat kuasa 18 November depan.
Menerusi notis tersebut yang turut tular di media sosial, Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid berkata, arahan tersebut sebagai langkah persediaan bagi menambah baik perniagaan sewaan khemah di pantai-pantai Port Dickson.
"Semua peniaga khemah biru dimohon kerjasama untuk menghentikan sewaan khemah mulai 18 November di Pantai Telok Kemang, Pantal Tanjung Biru dan Pantai Cermin.
"Tuan atau puan juga dilarang untuk memulakan apa-apa perniagaan sebagai ganti," katanya dalam notis terbabit.
Menurutnya, jika tidak mematuhi mana-mana kehendak notis, pihak MPPD akan memindahkan dan mengalihkan halangan tersebut tanpa notis selanjutnya mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Jelasnya, pengusaha juga dikehendaki membersihkan semua peralatan seperti khemah-khemah, meja, kerusi, payung, struktur atau binaan tempat simpanan dan sebagainya.
"Pihak MPPD akan melupuskan apa-apa peralatan yang masih kekal di pantal sekiranya ada selepas pemantauan dilakukan,"katanya.
Selain itu katanya, aktiviti sewaan khemah biru di Pantai Telok Kemang yang tular baru-baru ini telah menjejaskan nama baik Port Dickson sebagai pantai peranginan negara.
Hasnor berkata, ia ditambah lagi dengan tindakan segelintir peniaga yang menghalau orang awam dari menggunakan pantai awam.
"Malahan sehingga kini masih lagi terdapat peniaga yang ingkar dengan syarat dan peraturan yang telah ditetapkan pihak Majlis melalui surat MPPD.UKPA/484/1/90 bertarikh 18 Jun 2020.
"Untuk makluman juga, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kemang telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pengusaha Khemah Telok Kemang bagi berunding dengan MPPD," katanya.
Untuk rekod, isu khemah biru terutama di Pantai Teluk Kemang bukanlah baharu dan sering menjadi rungutan pengunjung yang kurang selesa dengan kehadiran khemah di situ.
Malah ada yang mendakwa mereka turut dihalang duduk di pantai itu sekiranya tidak menyewa khemah.
Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perbincangan sedang dijalankan bersama pengusaha khemah sewa di kawasan pantai berkenaan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.
Katanya, isu berkaitan kawasan berkenaan akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!