Pihak berwajib perlu pastikan perbicaraan rasuah pantas, adil

SPRM mereman dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000. Gambar kecil: Hamdan Daniel
SPRM mereman dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000. Gambar kecil: Hamdan Daniel
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berwajib atau Badan Kehakiman Negara perlu memastikan perbicaraan yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa dilaksanakan dengan pantas dan adil.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, perkara itu bagi mengelakkan pelaku jenayah tersebut bebas memutarbelitkan kenyataan dan mengubah salah laku mereka.

Menurutnya, ia melibatkan imej kerajaan maka tindakan pantas dan efisien daripada pihak berwajib sangat diperlukan tanpa pilih kasih.

"Jika pelaku rasuah dibicarakan dengan pantas dan dihukum untuk menjalani hukuman penjara tanpa sebarang prejudis, pasti ramai yang akan menjauhi amalan buruk ini.

"Malah, kerajaan juga boleh mengenakan saman kepada individu terbabit kerana telah mencalarkan imej negara. Pelaku rasuah juga boleh dianggap pengkhianat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000.

Menurut sumber, suapan tersebut diberikan sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek daripada jabatan tersebut.

Tambah Hamdan Daniel, kes seperti itu memberikan kesan negatif kepada mutu perkhidmatan awam, justeru rasuah perlu ditangani segera agar jenayah tersebut dapat dibanteras habis-habisan.

Artikel Berkaitan:

"Undang-undang berkaitan rasuah juga perlu diteliti semula kerajaan supaya dapat mewujudkan stigma bahawa rasuah adalah jenayah yang cukup berat dan jijik.

"Undang-undang sedia ada tidak benar-benar memberi ketakutan kepada masyarakat hinggakan mereka yang didakwa atas kesalahan itu juga langsung tidak menunjukkan rasa malu ketika dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!