Sistem penilaian elemen antirasuah: 12 PBT dijatuhkan penarafan bintang

Kor Ming berucap semasa sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di Hotel Pavilion Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Kor Ming berucap semasa sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di Hotel Pavilion Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Sebanyak 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dijatuhkan taraf Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) selepas elemen antirasuah dimasukkan dalam sistem penilaian itu yang bermula tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, elemen itu dimasukkan bertujuan memastikan negara ini dapat melonjak daripada kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah selari dengan Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028.

"Dalam sejarah kita masukkan elemen antirasuah dalam sistem penarafan itu ... katakan dulu (sesebuah PBT itu menerima) lima bintang, sekarang masuk dalam sistem penilaian baharu iaitu antirasuah, maka telah jatuh kepada empat bintang, ada empat bintang pula jatuh ke tiga bintang tetapi ada juga (PBT) yang dinaikkan taraf bintang.

"Jadi, tahun ini kita memastikan penarafan bintang ini betul-betul mencerminkan prestasi PBT masing-masing (termasuk penilaian elemen antirasuah),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PBT 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, PBT terbabit yang telah dijatuhkan taraf menerusi SPB-PBT akan diberikan sesi kaunseling sebagai usaha menaikkan semula penarafan mereka.

Kor Ming berkata, beliau telah memberikan amanat kepada semua PBT mengenai beberapa aspek penting dalam hala tuju baharu PBT terutamanya meningkatkan integriti supaya menjadi teladan kepada perkhidmatan awam.

"Surat Pekeliling juga telah dikeluarkan dengan wajib untuk menubuhkan unit integriti pada peringkat PBT masing-masing supaya dapat bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaras dasar NACS.

"Selain itu, aspek ease of doing business, kita mahu PBT mempercepat proses kelulusan khusus kepada pelabur untuk fokus membangunkan ekonomi dengan dibantu dan dirancak pada peringkat akar umbi terutamanya peringkat PBT.

Artikel Berkaitan:

"Transformasi digital PBT dalam era globalisasi ini, kita dapat tingkatkan daya saing negara di bawah kerangka Ekonomi Madani untuk Malaysia melonjak antara 25 negara paling berdaya saing di dunia, maka pada peringkat PBT, ia adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata, hal ini antaranya termasuklah perancangan mewujudkan satu sistem atau pusat sehenti secara dalam talian berhubung permohonan lesen berisiko dan lesen tidak berisiko dalam memudah cara serta mempercepat proses kelulusan.

"Orang ramai boleh klik dalam talian dan semak dokumen, apabila lengkap boleh ambil lesen bagi kategori lesen tidak berisiko (seperti kedai runcit dan medan selera) manakala lesen berisiko seperti bilik pembedahan untuk haiwan, atau bilik letak mayat kita pendekkan masa apabila penuhi syarat, dalam tempoh 14 hari boleh keluarkan lesen,” katanya.

Mengenai sasaran pembangunan bandar pintar, Kor Ming berkata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Bandar Pintar Dunia menunjukkan negara ini berada di landasan yang tepat.

"Kuala Lumpur tahun lepas menduduki tangga ke-89 dari segi Indeks Bandar Pintar Dunia, namun pada tahun ini melonjak tangga ke-73 ... tetapi kita masih jauh ketinggalan dibandingkan dengan Zurich, Switzerland (tangga pertama), Oslo, Norway (tangga kedua) dan Singapura (tangga kelima) ... jadi, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!