Iran pintas serangan udara Israel, lapor kerosakan terhad

Pejabat perhubungan awam pertahanan udara Iran mengumumkan serangan udara Israel terhadap pusat tentera di Tehran, wilayah barat Ilam dan wilayah barat daya Khuzestan telah dipintas dan berjaya diatasi. - Foto: IRNA
Pejabat perhubungan awam pertahanan udara Iran mengumumkan serangan udara Israel terhadap pusat tentera di Tehran, wilayah barat Ilam dan wilayah barat daya Khuzestan telah dipintas dan berjaya diatasi. - Foto: IRNA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Iran menyatakan bahawa serangan udara Israel yang menyasarkan pusat-pusat ketenteraan di Tehran, wilayah barat Ilam serta wilayah barat daya Khuzestan berjaya dipintas dan hanya menyebabkan kerosakan terhad.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Pusat Kawalan Pertahanan Udara Iran dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa serangan udara Israel yang bermula sejurus selepas jam 2 pagi pada Sabtu telah berjaya ditangkis.

Menurut pusat kawalan itu, serangan udara berkenaan adalah sebahagian daripada langkah Israel yang semakin meningkat dan menyebabkan kerosakan terhad.

Kenyataan itu juga menggesa orang ramai untuk bertenang, mengekalkan perpaduan, dan hanya bergantung kepada berita daripada media kerajaan. Ia turut menyeru rakyat untuk tidak mempercayai khabar angin media musuh.

Israel pada awal Sabtu mengumumkan bahawa tenteranya melakukan "serangan tepat" terhadap "sasaran ketenteraan" di Iran, ketika letupan kedengaran di Tehran, lapor Agensi Anadolu.

Beberapa jam kemudian, tentera Israel mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan serangan udara yang disasarkan terhadap kemudahan ketenteraan Iran.

Terdahulu, IRNA melaporkan bunyi yang menyerupai letupan kedengaran di beberapa bahagian negara itu, khususnya di barat ibu negara, sekitar 2.15 pagi waktu tempatan.

Sistem antipeluru berpandu Iran diaktifkan sekali lagi di beberapa kawasan timur dan tengah kira-kira dua setengah jam kemudian sebagai tindak balas kepada serangan baharu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!