Rakyat Malaysia duduki tangga kedua paling ramai melancong ke Thailand
BUKIT KAYU HITAM - Malaysia menduduki tempat kedua paling ramai pelancong memasuki Thailand pada tahun ini.
Timbalan Gabenor Antarabangsa Lembaga Pelancongan Thailand (TAT), Pattaraanong Na Chiang Mai berkata, Malaysia merupakan pasaran kedua terbesar untuk kemasukan pelancong ke Thailand selepas China.
Menurutnya, berdasarkan rekod awal TAT, Thailand menerima lebih 3.7 juta pelancong Malaysia dari 1 Januari hingga 30 September 2024 dengan 49.33 peratus daripadanya masuk melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di Wilayah Songkhla.
"Selain lima pusat pemeriksaan sempadan, Thailand dan Malaysia perlu memanfaatkan kesalinghubungan melalui udara, darat, air, dan kereta api, yang memberi peluang yang sangat baik untuk terus mempromosikan pelancongan dua hala dan memajukan ekonomi antara kedua-dua negara.
"Sehubungan itu, Thailand menyasarkan jumlah pengunjung Malaysia dijangka kira-kira 5 juta menjelang akhir 2024," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Malaysia & Thailand Self Drive Tourism di Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr Yasmeen Yasim dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.
Beliau menambah, TAT akan melancarkan kempen Thailand’s Grand Invitation pada tahun depan, dan ini adalah masa yang sesuai untuk menyambut musim pelancongan untuk kedua-duanya negara.
Tambah beliau, Thailand menyediakan produk, perkhidmatan dan juga beberapa siri acara pelancongan hebat di wilayah Selatan untuk memenuhi pasaran Malaysia bermula Oktober 2024 hingga awal 2025 seperti Perayaan Loi Krathong.
Kata beliau, pihaknya percaya kerjasama dengan Tourism Malaysia dapat mengukuhkan perkongsian baik dan mempromosikan industri pelancongan di rantau ini di bawah semua rangka kerja kerjasama berkaitan sama ada ASEAN atau Pertumbuhan Segitiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).
Pattaraanong memaklumkan, Malaysia menerima kehadiran kira-kira 1.1 juta pelancong Thailand, sekali gus menyaksikan peningkatan 19.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketika ditanya sama ada cukai perjalanan 300 baht (RM38.65) yang ingin diperkenalkan Thailand tahun depan kepada pelancong asing akan memberi kesan kepada kehadiran pelancong Malaysia, beliau berkata berkata, langkah itu masih belum dilaksanakan dan kini survei sedang dilakukan untuk mengkaji kesan-kesannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!