SOJC: Tewas kepada Jepun, Young Tigers tamat saingan di tempat terakhir

Pemain Malaysia, Harras Osman (dua dari kiri), diasak oleh pemain Jepun, Tanaka Ryuji (kiri), dalam perlawanan penentuan tempat ke-5 dan ke-6 Piala Hoki Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini. - Foto: Bernama
Pemain Malaysia, Harras Osman (dua dari kiri), diasak oleh pemain Jepun, Tanaka Ryuji (kiri), dalam perlawanan penentuan tempat ke-5 dan ke-6 Piala Hoki Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara mengakhiri saingan di tempat terakhir apabila tewas 5-2 menerusi pukulan penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan Jepun pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor di sini hari ini.

Kejohanan disertai enam negara yang berlangsung sejak 19 Oktpber itu menyaksikan Young Tigers gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam semua perlawanan.

Dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam itu, kedua-dua pasukan dilihat seimbang apabila saling berbalas serangan bagi memecahkan kebuntuan namun tiada jaringan dapat dihadirkan pada suku pertama.

Skuad negara matahari terbit itu turut menafikan peluang Young Tigers untuk mencipta jaringan pada babak kedua menerusi tiga pukulan sudut penalti yang diperoleh.

Ketika aksi memasuki suku ketiga, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar yang tidak dikawal merobek gawang skuad kendalian Yoshihiro Anai pada minit ke-33.

Bagaimanapun, Jepun mengejar menerusi gol padang oleh Yuto Higuchi pada minit ke-48, sebelum Malaysia menggandakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mohammad Harris Iskandar Osman dua minit kemudian.

Tidak menunggu lama, skuad Matahari Terbit menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok yang diambil Jun Watanabe pada minit ke-58 sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dan perlawanan diteruskan dengan pukulan penentuan penalti.

Dalam penentuan penalti, tiga gol dijaringkan Yamato Kawahara, Yuto dan Jota Nakajima memastikan kemenangan buat Jepun selepas pukulan penentuan penalti skuad remaja negara menerusi Mohammad Harris Iskandar, Che Nur Aqilrullah dan Muhammad Handzalah Abdul Hadi gagal memasuki gawang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jurulatih, I Vikneswaran pada sidang media akur dengan kekalahan itu dan akan menumpukan kepada penambahbaikan mutu serta prestasi pasukan selepas ini terutama dalam menyempurnakan peluang pukulan sudut penalti.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketersediaan pasukan bagi kelayakan Piala Dunia Remaja.

"Pasukan kali ini ada peningkatan mengawal dan mendahului perlawanan berbanding pada perlawanan pusingan bertemu Jepun sebelum ini.

"Jadi kita kena serius untuk kaji kelemahan selepas ini kerana yang penting adalah pemain perlu beraksi mengikut perancangan. Saya lihat pasukan kita boleh mengawal perlawanan tetapi tidak ada kestabilan,” katanya.

Pada tahun lepas, skuad remaja negara menamatkan saingan di tempat ketujuh iaitu kedua terakhir, selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 pada perlawanan penentuan kedudukan.

Kali terakhir Malaysia menjuarai kejohanan itu adalah pada 2011 iaitu edisi pertama SOJC. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!