'Saya bersih' - Kian Meng nafi atur perlawanan

Kian Meng (kiri) dan Pei Jing. Foto Agensi
Kian Meng (kiri) dan Pei Jing. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng menafikan terlibat dengan sebarang aktiviti mengatur perlawanan.

Beliau yang berpasangan dengan Lai Pei Jing itu menjelaskan isu tersebut di laman sosialnya selepas tercetus dakwaan yang mengaitkannya dengan gejala tidak bermoral berkenaan.

“Saya mahu menjelaskan bahawa saya 'bersih'. Saya tidak pernah terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan sepanjang karier saya dalam sukan badminton.

“Jika ada sesiapa mendengar khabar angin mengenai perkara ini membabitkan saya, harap anda dapat memahami yang ia tidak betul,” catat beliau menerusi laman Instagramnya pada Sabtu.

Sebagai rekod, gandingan Kian Meng-Pei Jing dilihat seperti dibelenggu masalah apabila gagal melepasi pusingan pertama dalam lima kejohanan terakhir yang disertainya.

Kian Meng menjelaskan bahawa beliau amat meminati badminton dan bermain demi lencana di dada.

“Saya bermain badminton kerana saya mencintai sukan ini. Saya bermain untuk keluarga, isteri, negara dan karier saya.

“Terima kasih atas sokongan anda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pei Jing sebelum ini memaklumkan bahawa mereka akan menarik diri daripada beraksi pada kejohanan Kumamoto Masters bermula 12 hingga 17 November ini.

Ia susulan kecederaan yang dialami oleh Kian Meng baru-baru ini.

Mereka bagaimanapun merancang untuk kembali beraksi di China Masters yang dijadual pada 19 hingga 24 November.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!