Kibar bendera negara asing perlu sebab kukuh
SHAH ALAM - Tindakan mengibarkan bendera negara asing tidak wajar dibuat sesuka hati di negara ini tanpa sebab yang kukuh seperti bersolidariti untuk Palestin.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, bendera Palestin dibenarkan untuk dikibarkan kerana ia adalah isu antarabangsa melibatkan penindasan tentera Zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa.
Menurutnya, jenayah perang itu juga telah terbukti dan turut mendapat reaksi serta tentangan banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
"Mengibarkan bendera Palestin kerana dua perkara tersebut adalah sangat berbeza dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing yang lain tanpa bersebab.
"Saya tidak kata langsung tidak boleh mengibarkan bendera negara asing, tetapi ia perlulah memiliki sebab yang kukuh. Misalnya di kejohanan sukan antarabangsa, sudah tentu ada bendera negara asing yang dikibarkan, atas sebab penyertaan negara tersebut.
"Begitu juga dengan peristiwa atau hari-hari penting yang diraikan seperti ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Sudah tentu kita dapat melihat bendera kedua-dua negara dikibarkan secara bersama sebagai simbolik hubungan akrab kedua-dua negara,"katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini tular video memaparkan berlangsungnya perarakan dengan mengibarkan bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Perak.
Susulan itu, polis memanggil penganjur untuk dirakam keterangan dan mengesahkan perhimpunan tersebut melanggar syarat permit kerana membenarkan warga asing turut serta dalam perarakan berkenaan.
Mengulas lanjut, Choo Seong mempersoalkan motif mengibarkan bendera China di sekolah dan tempat awam seperti insiden berlaku di Teluk Intan.
Sedangkan tegasnya, hormat dan semangat setia kawan mempunyai batasannya agar tidak menggadai maruah dan kedaulatan negara sendiri.
"Setiap warganegara Malaysia perlu memiliki jati diri dan semangat cintakan negara Malaysia. Bersusah payah nenek moyang kita berjuang bersama-sama memerdekakan negara daripada kuasa penjajah, kenapa pula hari ini kita hendak mengagung-agungkan negara lain selain negara sendiri?
"Ini bukan isu politik atau isu perkauman. Tetapi ini adalah isu kedaulatan dan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak sedar akan tanggungjawab kita untuk menjunjung martabat dan mempertahankan kedaulatan negara kita sendiri,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!