Pekerja pemasangan paip maut terkena serpihan besi gerudi
KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera akibat terkena serpihan besi gerudi ketika melakukan kerja menggerudi di tepi Jalan Sulaman, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu melibatkan dua mangsa masing-masing berusia 19 dan 37 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang berada di kawasan berhampiran dikerah ke lokasi selepas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima panggilan berhubung kejadian tersebut.
"Sebaik tiba di lokasi, salah seorang mangsa telah meninggal dunia manakala seorang lagi cedera ringan.
"Difahamkan, kedua-dua pekerja pemasangan paip itu sedang melakukan kerja menggerudi namun serpihan besi alat gerudi tersebut terkena mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
"Hasil siasatan awal mendapati kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!