Kerajaan pastikan belia peroleh akses pekerjaan - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul menyampaikan ucapan penutupan pada Forum Ekonomi Belia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto: Bernama
Tengku Zafrul menyampaikan ucapan penutupan pada Forum Ekonomi Belia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited untuk memastikan belia memperoleh akses kepada pekerjaan yang sepadan dengan latihan mereka dan tiada wilayah yang terpinggir daripada mendapat pendedahan digital.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bagaimanapun berkata, graduan perlu memiliki set kemahiran yang dinamik, dan menyesuaikan diri dengan trend pekerjaan baharu.

Menurutnya, kerajaan akan melaksanakan dasar yang menarik perniagaan dan pelaburan, mewujudkan pekerjaan yang kompleks dan bernilai tinggi, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

"Sama ada melalui inovasi dalam kecerdasan buatan, keusahawanan dalam teknologi hijau, atau kepimpinan dalam pembuatan termaju, anda (belia) adalah orang yang akan membentuk masa depan Malaysia.

"Inilah masa anda. Anda mempunyai peluang, peralatan, pemboleh sumber dan dorongan untuk berkembang maju dalam ekonomi baharu ini," katanya dalam ucaptama bertajuk "Embracing the New Economy: A Blueprint For Malaysia's Second Economic Takeoff” di Forum Ekonomi Belia (YEF) 2024 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, peranan kerajaan adalah untuk membantu belia berjaya, namun mereka sendiri harus berusaha untuk meningkatkan diri seterusnya mengambil alih masa depan Malaysia.

Dasar kerajaan ketika ini, yang menumpukan kepada pembangunan bakat dan tenaga kerja bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk masa depan mereka, katanya.

"Saya ingin mengingatkan anda bahawa ekonomi baharu yang kami bina bukan hanya untuk anda-ia bersama anda.

Artikel Berkaitan:

"Kami sedang meletakkan asas bagi ekonomi yang berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif, didorong oleh teknologi, kemampanan dan inovasi,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, beliau berkata, belia boleh melakukan perubahan dalam mengukuhkan peranan masa depan ASEAN di peringkat global berikutan Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan.

Beliau seterusnya berkata dengan hampir 50 peratus daripada 680 juta penduduk ASEAN di bawah umur 30 tahun, demografi ASEAN dilihat boleh memacu pertumbuhan.

Selain itu, Tengku Zafrul menggalakkan belia untuk bersuara melalui platform seperti YEF, atau pilihan raya, untuk memastikan kerajaan membina masa depan yang mencerminkan keperluan dan aspirasi belia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!