PKR Kelantan perlu lipat ganda usaha tambah keahlian - Nurul Izzah
TANAH MERAH - Pemimpin dan anggota PKR peringkat cawangan diminta melipatgandakan usaha menambah keahlian bagi memastikan parti itu mampu memenangi kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, parti itu sudah mula mendapat kepercayaan di Kelantan kerana teras prinsip keadilan kepada rakyat.
"Kita lihat undi yang diberikan pada PRU lepas mula naik dan ini menunjukkan rakyat negeri ini memberi kepercayaan kepada kita,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tanah Merah 2024 di sini hari ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, PKR Kelantan akan bekerja keras pada peringkat akar umbi bagi meningkatkan sokongan sekali gus mengubah landskap politik negeri ini.
"Kita mesti meramaikan anggota dan keahlian kerana tanpa jentera yang kuat, kita tidak mampu melakukan perubahan landskap politik di negeri ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!