Wang syarikat lebih RM300,000 hilang selepas kereta wanita dipecah

Wang tunai sebanyak RM301,231 milik sebuah syarikat lesap dicuri dua lelaki yang bertindak memecahkan cermin tingkap kereta seorang wanita dalam insiden di kawasan parkir Jalan Kampung Nyabor pagi semalam - Gambar hiasan
Wang tunai sebanyak RM301,231 milik sebuah syarikat lesap dicuri dua lelaki yang bertindak memecahkan cermin tingkap kereta seorang wanita dalam insiden di kawasan parkir Jalan Kampung Nyabor pagi semalam - Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Wang tunai sebanyak RM301,231 milik sebuah syarikat lesap dicuri oleh dua lelaki yang bertindak memecahkan cermin tingkap kereta seorang wanita dalam insiden di kawasan parkir Jalan Kampung Nyabor pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, laporan berhubung insiden itu diterima pada jam 11.10 pagi semalam dan sebelum kejadian, wanita berusia 27 tahun yang juga pekerja syarikat berkenaan telah mengeluarkan wang tersebut dari sebuah bank.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah diekori sejak keluar dari bank setelah mengeluarkan wang sambil membimbit beg berisi wang tunai.

"Apabila mangsa meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta, suspek telah bertindak memecahkan cermin tingkap kereta sebelah pemandu dan mencuri beg yang diletakkan di tempat duduk bersebelahan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas itu, suspek telah pergi kepada rakannya yang menunggu di bahu jalan sebelum mereka melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah motosikal.

Zulkipli berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dilakukan berdasarkan kepada rakaman kamera papan pemuka kenderaan mangsa dan pihak polis mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sewaktu berurusan di bank serta tidak meletakkan barangan berharga di tempat yang mudah dicapai oleh penjenayah.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 serta 427 Kanun Keseksaan dan sebarang maklumat berhubung insiden itu boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhd Syahmi Zahar di talian 011-2314 8321. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!