Budak empat tahun parah jatuh dari tingkat 12

Seorang kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat 12 di sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong pada Sabtu. - Gambar hiasan
Seorang kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat 12 di sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang kanak-kanak lelaki parah selepas terjatuh dari tingkat 12 di sebuah kondominium di Lebuh Tunku Kudin, Jelutong di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, kanak-kanak berusia empat tahun itu ditemui oleh neneknya dalam keadaan tersangkut di bumbung konkrit tingkat tujuh kondominium berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika wanita warga emas berusia 63 tahun itu berada di bilik air.

"Mangsa terjatuh dari tingkap bilik tidur utama dan pemeriksaan dilakukan mendapati katil dalam bilik terbabit terletak berhampiran tingkap.

"Tiada saksi yang lihat kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Swee Sake berkata, kanak-kanak berkenaan yang dilaporkan berada dalam keadaan parah sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!